ads

Sabtu, 18 Februari 2012

06 di kuala lipis - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

06 di kuala lipis - Google Blog Search


Travelog aie & sha: Ekspedisi Tahun Baru: <b>Kuala Lipis</b> - Kuala <b>...</b>

Posted: 10 Jan 2012 01:11 AM PST

Cuti tahun baru yang lalu memberi kami ruang sekali lagi untuk meneruskan kembara meneroka khazanah berharga di tanah air. Destinasi utama adalah Taman Negara yang terletak di Kuala Tahan, Pahang. Namun untuk menjadikan perjalanan lebih menarik, kami singgah di beberapa tempat seperti di Kuala Lipis dan Kuala Gandah.

Kebetulan, rakan travel kami, Ja, berada di kampung halamannya di Kuala Lipis ketika itu kerana cuti semester. Mendengar rancangan kami untuk ke Kuala Tahan, dia mengajak kami singgah ke rumahnya kerana kedudukan Kuala Lipis terletak di tengah-tengah perjalanan dari Shah Alam ke Kuala Tahan. Di Kuala Tahan pula, seorang lagi rakan, Lan sudah sedia menanti. Selaku penduduk asal di situ, dia beriya-iya mahu membawa kami pusing-pusing di Taman Negara.

Kami bertolak ke Kuala Lipis dari Shah Alam pada pukul 11 malam selepas empat jam berehat usai pulang dari kerja. Kami memang gemar memilih perjalanan di waktu malam. Dalam keadaan yang tidak cukup rehat kerana siangnya kami bekerja, namun memandu pada waktu malam langsung tidak membuatkan kami berasa letih. Rasulullah SAW sendiri menggalak kita memulakan perjalanan di waktu malam kerana menurut baginda, perjalanan pada waktu malam akan menjadi lebih pendek.

Satu-satunya jalan pintas untuk ke arah pantai timur jika memulakan perjalanan dari sekitar Lembah Klang adalah melalui Lebuhraya Karak. Dari lebuhraya tersebut, kami kemudian mengambil susur keluar ke arah Bentong-Kuala Lipis-Raub. Hanya lebih kurang 45 minit berada di lebuhraya, kami kemudian terpaksa menempuh jalan lama yang gelap dan berliku-liku dan mengambil masa lebih kurang dua jam untuk tiba di Kuala Lipis dari Bentong.

Kuala Lipis

Kami tiba di pekan Kuala Lipis pada pukul 2 pagi. Ja menyambut kami di stesen Petronas dan terus membawa kami ke rumahnya. Rumah Ja terletak di kawasan berek polis Kuala Lipis kerana bapanya merupakan seorang anggota polis di sana. Walaupun rumah-rumah di situ kelihatan usang, namun apa yang menarik, rumah-rumah tersebut merupakan rumah-rumah 'home guard' pada zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Kami kemudian diberi bilik untuk berehat dan tidur sebelum hendak meneruskan perjalanan pada siang hari nanti.

Selepas bersarapan, kami termasuk Ja kemudiannya meminta izin daripada ibu bapanya untuk meneruskan perjalanan ke Kuala Tahan. Seperti yang dijanjikan, Ja membawa kami pusing-pusing dahulu di pekan Kuala Lipis. Di sini kita boleh dapati banyak bangunan-bangunan lama yang dibina pada zaman penjajahan Brittish. Antaranya adalah Kelab Pahang (1907) Sekolah Menengah Clifford (1913), Bangunan Residen (1922), Asrama Jururawat (1926), Rumah Pegawai Daerah (1929) dan sebagainya.

Menurut sumber, Kuala Lipis dahulunya merupakan pusat perlombongan emas sebelum kedatangan British pada tahun 1887. Ia kemudiannya dijadikan ibu negeri Pahang dari tahun 1898 hingga 1955. Daerah ini semakin membangun selepas pembinaan landasan kereta api pada 1924. Walau bagaimanapun, pada 1955, ibu negeri telah berpindah ke Kuantan dan pembangunan Kuala Lipis terus berhenti setakat itu. Ianya kini hanya merupakan bandar bersejarah yang menyimpan banyak peristiwa silam. Yang lebih menarik tentang Kuala Lipis ini, ia merupakan tempat kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kampung halaman penyanyi tersohor, Siti Nurhaliza.

Selepas puas pusing-pusing di Kuala Lipis, kami kemudian meneruskan perjalanan menuju ke Kuala Tahan. Seperti malam sebelumnya, kami sekali lagi terpaksa menempuh jalan yang berliku-liku ditambah lagi dengan trafik yang agak sesak ketika itu. Lebih kurang dua jam memandu, barulah kami tiba di pintu gerbang ke Kuala Tahan. Ketibaan kami disambut oleh Lan yang sudah siap sedia menempah lokasi untuk kami berkhemah. Memang itu rancangan kami, berkhemah menjadi pilihan utama setiap kali kami melakukan trip.

Kuala Tahan

Tapak perkhemahan yang dipilih oleh Lan memang terbaik. Kawasannya lapang dan terletak betul-betul di tepi Sungai Tembeling, betul-betul berdekatan dengan Kuala Tahan. Tapak perkhemahan kami itu kepunyaan Dakilihouse yang turut menyediakan bilik dan dorm bagi yang tidak mahu berkhemah. Bayaran yang dikenakan ke atas kami adalah RM5 seorang untuk satu malam. Memang murah dan berbaloi kerana selain tandas dan bilik air, ruang berteduh yang dilengkapi dengan sinki turut disediakan.Selepas mendirikan khemah, kami pun bersiap-siap untuk makan tengah hari di restoran terapung berdekatan dengan tapak perkhemahan. Selepas makan, kami kemudian ke seberang sungai untuk memasuki Taman Negara. Bagi setiap kali menyeberangi Sungai Tembeling itu, bayaran RM1 seorang dikenakan dengan menaiki bot. Di sana kami cuma mendapatkan permit masuk Taman Negara (RM1 seorang) dan lesen untuk membawa masuk kamera (RM5). Permit masuk tersebut boleh digunakan pada bila-bila masa sepanjang berada di Kuala Tahan. Kami memang tidak merancang untuk meneroka Taman Negara pada hari itu kerana hari sudah pun lewat petang. Kami cuma akan kembali semula pada keesokan harinya dengan masa yang lebih panjang dan tenaga yang mencukupi.Kami kemudian kembali ke tapak perkhemahan untuk berehat. Selepas solat maghrib, kami bersiap-siap pula untuk ke Kampung Gol bagi menyaksikan sambutan tahun baru di sana. Kami ke sana atas jemputan Lan selaku penduduk di kampung itu. Menurutnya, memang tiap-tiap tahun kampung itu mengadakan sambutan tahun baru. Memang itu peluang yang kami tunggu-tunggu, kami mahu melihat sendiri budaya yang diamalkan penduduk di situ, khususnya di kawasan Kuala Tahan selain peluang untuk makan percuma. Hehe.Sambutannya sederhana. Selain dijamu dengan pelbagai jenis makanan terutamanya pulut sardin, acara turut dimeriahkan dengan penyampaian sumbangan kepada ibu-ibu tunggal, anak-anak yatim dan anak-anak yang cemerlang di dalam peperiksaan. Walaupun ada cabutan bertuah, namun nasib kami tidak berapa bertuah malam itu. Tepat pukul 12 tengah malam, ruang-ruang udara di kampung itu diceriakan pula dengan bunga-bunga api yang cantik dan pastinya mengukir kegirangan khususnya kepada kanak-kanak di kampung itu. Selesai acara tersebut, kami pun pulang semula ke tapak perkhemahan untuk berehat dan tidur.

Keesokannya harinya, kami bangun awal untuk bersedia menempuh hari yang bakal diisi dengan pelbagai aktiviti. Selepas bersarapan dengan roti, 'scrambled egg', kari ayam dan teh 'o' panas, kami memulakan perjalanan dengan treking ke Canopy Walkway. Dalam perjalanan meredah hutan, kami menemui pelbagai spesis pokok yang menarik perhatian. Memang indah kejadian tuhan dan ia hanya akan dapat dinikmati dengan berkunjung ke Taman Negara. Perjalanan hanya mengambil masa setengah jam sebelum sampai di Canopy Walkway.

Canopy Walkway di Taman Negara diiktiraf sebagai titi gantung terpanjang di dunia iaitu sepanjang 510 meter dan berada pada ketinggian 45 meter. Untuk merasai pengalaman melalui titi tersebut, bayaran sebanyak RM5 seorang dikenakan untuk dewasa dan RM3 seorang untuk kanak-kanak. Namun titi itu tidak boleh dilalui lebih daripada seorang dalam satu masa. Selepas orang di hadapan barada pada jarak 10 meter, barulah orang kemudiannya boleh menyusuri titi itu.

Kami mengambil masa lebih kurang sejam untuk menamatkan perjalanan di Canopy Walkway. Kami tidak mahu tergesa-gesa, peluang menikmati pemandangan hutan dara di Taman Negara bukan datang selalu. Dengan kewujudan pelbagai spesis pokok yang pelbagai bentuk, hati kami menjadi tenang dan ketika itu datang rasa kesyukuran dengan nikmat yang Allah telah berikan.

Selesai di Canopy Walkway, kami sepatutnya meneruskan perjalanan sejauh lebih kurang dua kilomter ke Bukit Teresek. Namun masa tidak mengizinkan kerana ketika itu matahari sudah mula terpacak di atas kepala. Pergi dan balik sahaja mungkin mengambil masa dua jam. Jadi kami pun membatalkan niat untuk ke Bukit Teresek dan kembali ke jeti Kuala Tahan untuk makan tengah hari sementara menunggu bot untuk ke Lata Berkoh.

Untuk ke Lata Berkoh, kami mengambil bot kecil yang boleh memuatkan maksimum empat orang dengan bayaran RM160 untuk satu bot. Nampak macam mahal, tetapi sebenarnya memang berbaloi.

Kami dibawa menyusuri Sungai Tahan yang sederhana lebarnya berbanding dengan Sungai Tembeling. Airnya gelap, hitam kemerah-merahan. Kenapa kami katakan bayarannya berbaloi, ini kerana laluan yang kami susuri adalah melawan arus dan airnya pula cetek. Kemahiran yang tinggi diperlukan untuk mengawal bot agar enjin dan badan bot tersebut tidak berlanggar dengan batu-batu sungai. Pemandangannya pula, memang terbaik. Pokok-pokok yang meliuk-liuk di tebing-tebing meneduhkan perjalanan kami pada hari itu. Perasaan yang dialami ketika itu, memang sukar diperolehi dari mana-mana tempat.Kami sampai di sebuah hentian selepas setengah jam menyusuri sungai. Di situ, sudah ada beberapa bot yang berlabuh. Mungkin membawa penumpang seperti kami juga. Dari hentian itu, kami kemudian perlu meredah laluan hutan selama 15 minit sebelum sampai ke lokasi Lata Berkoh. Memang tidak rugi kami mengambil pakej ini, Lata Berkoh sungguh menakjubkan. Nampak menggerunkan dengan arusnya yang deras menghentam batu-batu yang besar, namun ia mesra pengunjung. Kami mengambil kesempatan untuk bermandi-manda di satu sudut yang lebih selamat. Namun ada juga pengunjung-pengunjung terutamanya dari luar negara yang begitu berani berenang di satu lokasi yang lebih dalam. Bagaimanapun, ia masih selamat dengan syarat harus pandai berenang.Lebih kurang setengah jam meluangkan masa di Lata Berkoh, kami kemudian kembali ke bot untuk meneruskan perjalanan ke pusat lindungan ikan kelah. Lokasi ini sebenarnya terletak di antara Kuala Tahan dan Lata Berkoh. Namun bukan mudah untuk melihat ikan-ikan kelah di situ kerana keadaan airnya yang tidak jernih. Bagaimanapun, ikan-ikan tersebut memang banyak. Nasib baik kami ada membawa makanan ikan dan sedikit roti, jadi kami dapat mengumpan mereka untuk datang menghampiri kami. Walaupun tidak boleh melihat dengan jelas, namun kelibat mereka dapat dikesan dengan kesan air yang berkocak-kocak apabila kami melempar makanan.

Selepas lebih kurang setengah jam kami bermain dengan kelah, kami kemudian dibawa pulang ke jeti Kuala Tahan. Waktu ketika itu sudah hampir lewat petang. Kami bergegas ke tapak perkhemahan untuk membersihkan diri dan membuat persiapan makan malam.

Sebenarnya, banyak lagi aktiviti yang boleh dibuat di Taman Negara ini. Antara yang menarik boleh dilakukan ialah berkunjung di perkampungan Orang Asli, bermalam di Gua Kepayang Besar (berkhemah), 'rapids shooting' di Sungai Tembeling, 'white water rafting' di Jeram Abai, Jeram Nusa dan Jeram Abang,  eksplorasi hutan dan sebagainya. Namun masa tidak tidak mengizinkan kami untuk meneroka kesemuanya. Mungkin pada masa akan datang, kami akan membawa masa yang lebih panjang bersama.


Menu kami pada malam itu agak mewah. Lan membawa seekor ikan patin yang agak besar juga saiznya beserta beberapa ekor ikan kembong dan sotong. Makanan laut itu kami bakar selain menyediakan lauk-lauk lain seperti telur dadar, sambal kicap dan kari ayam. Tanpa kunyit atau diperap, ikan patin memang sedap dibakar begitu sahaja.

Malam itu kami habiskan masa dengan berbual sambil meratah makanan laut yang dibakar di tepi Sungai Tembeling. Namun cuaca pada malam itu tidak menginzinkan kami untuk berada lama di luar. Kami masuk ke khemah untuk tidur sebelum hujan kemudiannya turun dengan lebat, mendinginkan lagi suasana pada malam itu.

Keesokannya, kami bangun awal untuk bersiap-siap meninggalkan Taman Negara. Selepas bersarapan di Kompleks Perniagaan Kuala Tahan, kami pun meminta diri dan meninggalkan Lan untuk meneruskan kehidupannya sebagai anak jati Kuala Tahan. Kemudian kami bertiga pun meneruskan perjalanan ke Kuala Gandah untuk bermain dengan gajah.

Kuala Gandah

Kuala Gandah terletak di dalam kawasan Lanchang, pekan kecil yang terletak di antara bandar Mentakab dan Karak. Tiada bayaran masuk dikenakan untuk masuk ke Pusat Konservasi Gajah. Walaupun percuma, namun jika berkunjung pada cuti umum, anda berkemungkinan terlepas peluang untuk menunggang gajah. Ini kerana ketika di waktu kemuncak, terlalu ramai orang yang datang di pusat itu. Malah bagi mengelak terlepas peluang menunggang gajah, sudah ada pengunjung yang sanggup menempah terlebih awal melalui telefon.

Pusat Konservasi Gajah ini dibuka pada setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 4.30 petang. Namun aktiviti-aktiviti seperti menunggang gajah, mandi bersama gajah dan memberi makan gajah hanya akan bermula pada pukul 2.15 petang. Selain itu, pusat itu juga turut menyediakan pameran dan tayangan video untuk menyalurkan informasi kepada pengunjung-pengunjung yang datang. Selain gajah-gajah dewasa, anak-anak gajah yang masih kecil juga menghuni di pusat tersebut. Rata-ratanya adalah anak-anak gajah yang kehilangan ibunya sama ada mereka tersesat atau tertinggal daripada kumpulan gajah.

Di sana, walaupun kami tidak berkesempatan untuk menunggang gajah, namun kami berpeluang untuk bermain dan memandikan dengan anak gajah. Dengan keadaan yang agak sesak dengan pengunjung, kami cuma berpeluang seketika sahaja bermain dengan anak gajah tersebut. Namun ia tetap menyeronokkan.

Selepas membersihkan diri dan menukar pakaian kering, kami kemudian meninggalkan gajah-gajah tersebut dan singgah pula di Deerland yang terletak dalam kawasan Kuala Gandah juga, hanya 10 minit dari pusat lindungan gajah itu. Deerland adalah satu lagi pusat lindungan binatang-binatang liar namun berbeza dengan Pusat Konservasi Gajah yang ditubuhkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), taman yang menempatkan pelbagai spesis rusa ini merupakan milik persendirian.

Bayaran masuk untuk ke Deerland adalah sebanyak RM6 seorang. Di dalam taman tersebut, anda akan diberi makanan iaitu sengkuang yang dihiris-hiris kecil untuk menyuap rusa-rusa di sana. Rusa-rusa tersebut sangat mesra, anda berpeluang untuk masuk ke kandang mereka dan mendekati mereka dengan lebih dekat. Sangat jinak dan tidak lari atau menyerang jika kita menyentuh mereka. Selain rusa, Deerland turut menyimpan pelbagai jenis binatang lain seperti ular sawa, pelbagai spesis burung, ayam, arnab, kancil dan sebagainya.

Setelah menghabiskan masa lebih kurang setengah jam di Deerland, kami kemudian meneruskan perjalanan pulang ke Shah Alam. Sungguh memenatkan, namun hati kami puas kerana cuti tahun baru kami diisi dengan pelbagai pengalaman baru yang menarik dan pastinya kekal terpahat di ingatan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PAHANG

Copyright 2010 All Rights Reserved