ads

Isnin, 12 November 2012

di negeri pahang - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

di negeri pahang - Google Blog Search


Pembangunan Bandar dan Luar Bandar: Ekonomi Manusiawi <b>...</b>

Posted: 21 Oct 2012 06:36 AM PDT

Kebijakan ekonomi semestinya menjurus ke arah mengangkat martabat manusia. Penumpuannya sudah tentu pada aspek kebendaan dalam kehidupan tetapi ia harus dilihat sebagai wasilah atau perantaraan untuk mencapai cita-cita kemanusiaan yang lebih tinggi.

–AnwarIbrahim, Gelombang Kebangkitan Asia-

Pahang Darul Makmur direstui dengan pelbagai keistimewaan. Negeri ini mempunyai tanah yang paling luas di Semenanjung Malaysia. Tanah ini diliputi pelbagai ciri bentuk muka bumi: hutan rimba, tanah tinggi, tanah rata, bukit, tasik, sungai terpanjang di semenanjung, dan pinggiran laut China Selatan yang panjangnya menjangkau lebih daripada 200km.

Dengan keluasan tanah 36,137km2 tetapi populasi hanya 1.44 juta orang, rakyat Pahang dikurniai kekayaan semulajadi yang kaya seperti kayu balak, pasir, bijih besi, emas dan pelbagai hasil yang sepatutnya telah memanfaatkan rakyat dari segi hasil pertumbuhan ekonomi dan mutu kehidupan yang tinggi.

Hakikatnya, Pahang di bawah pemerintahan UMNO/BN selama 55 tahun ini, bukan sahaja tidak dapat merealisasikan potensi ekonomi, malah gagal melaksanakan amanah yang diberikan oleh rakyat:

  1. Dengan kekayaan yang sedia ada, UMNO/BN telah membentangkan belanjawan defisit selama 13 tahun berturut-turut (1998-2011).[1]
  2. Laporan Ketua Audit Negara 2011 melaporkan pada akhir tahun 2011, Kerajaan Negeri memiliki aset berjumlah RM350.25 juta tetapi liabilitinya pula berjumlah RM2.4 bilion, iaitu 6.85 kali ganda lebih banyak.[2]
  3. Hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan terus meningkat daripada RM1.9 bilion pada tahun 2007 kepada RM2.4 bilion pada tahun 2011.
  4. Disebabkan kesilapan urus tadbirnya, Kerajaan Negeri Pahang diarahkan oleh mahkamah pada 7 April 2008 supaya membayar RM63 juta kepada sebuah syarikat pembalakan, dan kerajaan negeri sehingga hari ini masih belum akur kepada keputusan mahkamah.[3]
  5. Industri kotor seperti Raub Australia Gold Mine (RAGM)di Bukit Koman dan Lynas Advanced Material Plant (LAMP) di Kuantan mendapat pengecualian cukai selama 12 tahun.[4] Pahang sudah dijadikan sebuah tong sampah toksik yang murah.
  6. Kerajaan UMNO/BN hanya memberhentikan pengeluaran lesen pembalakan kepada pihak individu mulai tahun 2011.[5] Kegiatan pembalakan di Pahang yang tidak mengamalkan system tender secara terbuka dan telus telah mengakibatkan hasil keseluruhan pembalakan bagi sehektar hanya sekadar RM2,000 – RM4,000, sementara pengeluaran balak di negeri Kedah bawah Kerajaan Pakatan Rakyat mampu mencapai RM16,000-RM19,000 sehektar.[6][7]

Aktiviti jabatan/agensi dan pengurusan syarikat kerajaan Negeri Pahang juga tidak dapat dielakkan daripada pemborosan, pembaziran dan ketirisan. Laporan Ketua Audit 2011 mendedahkan beberapa salahlaku yang jelas bercanggah dengan tatakelola yang baik pada dunia hari ini.

Di bawah falsafah ekonomi dan model pertumbuhan UMNO/BN, apa yang jelas disaksikan adalah urus tadbir yang lemah, salahguna kuasa, ketirisan yang berlaku atas kekayaan negeri  dan gejala rasuah yang berleluasa.  Penipuan besar masa kini oleh UMNO/BN ialah pemborosan, pembaziran dan kemewahan yang dilakukan atas nama menjaga kepentingan kumpulan yang memerlukannya. UMNO/BN bukan sahaja tidak dapat menerajui pembangunan berbentuk lestari secara berhemah, malah mengekspoitasikan sumber negeri yang terhad untuk kepentingan peribadi. Maka selepas 55 tahun model mitos ini diguna pakai, yang kaya cuma segelintir elit dan kroni yang rapat dengan kuasa politik, rakyat jelata secara keseluruhan kekal papa kedana.

Falsafah dan dasar yang dibawa oleh UMNO/BN adalah model pertumbuhan terbantut. Pertama, pertumbuhan UMNO/BN adalah pertumbuhan tanpa keadilan, dengan hasil ekonomi dinikmati oleh golongan kroni kapitalis, membiarkan sekaligus jutaan jiwa hidup dalam kemiskinan yang kian parah. Kedua, pertumbuhan yang bisu, di mana pertumbuhan UMNO/BN tidak memperkasa rakyat serta menindas suara dan pandangan yang berlainan pendapatnya. Ketiga, pertumbuhan tanpa masa depan, dengan generasi kini memburu segala sumber dan mengabaikan kepentingan generasi masa depan.

Justeru itu, Pakatan Rakyat wajar membawa konsep dan model pertumbuhan yang dapat melonjatkan paradigma baru untuk selamatkan Malaysia dan Pahang dari terus terjunam. Berlandaskan falsafah 'Ekonomi Manusiawi' yang diujar oleh Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim, model pembangunan ekonomi Pakatan Rakyat harus berpaksi kepada falsafah Keadilan dan ihsan, iaitu pembangunan yang bersifat menyeluruh, mengutamakan keseimbangan, mencapai Keadilan sosial dan berpandukan prinsip akhlak dan keprihatinan sosial.[8]

Dalam jangka masa panjang, kemampuan sesebuah negara untuk mengangkat darjat kehidupan bergantung sepenuhnya kepada kejayaannya meningkatkan produktiviti dan daya saing rakyatnya. Maka berlandaskan Model Ekonomi Manusiawi, selepas penilaian dibuat ke atas kelebihan dan kenyataan negeri, dua aspek ekonomi akan diutarakan dalam kertas kerja ini, iaitu Pembangunan Ekonomi Pertanian (Luar Bandar) dan Ekonomi Kelestarian Bandar (Bandar).

EKONOMI PERTANIAN

Pertanian merupakan asas kepada ekonomi sesebuah negara termasuk negara maju. Selain daripada negara bandar (city state), tiada mana negara yang dapat maju tanpa perkembangan sektor pertanian mereka. Disebabkan kejar-kejaran pengindustrian semata-mata, Malaysia pada tahun 2009 perlu mengimport sayur hampir RM1 bilion sebulan memandangkan pengeluaran tanaman itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan negara.[9]

Selama ini, negeri Pahang terkenal dengan beberapa hab pertanian seperti di Cameron Highlands, Bentong dan Lanchang[10]. Iklim dan ciri bentuk muka bumi yang pelbagai di Pahang sekaligus menjadikan kegiatan pertanian/perternakan/perikanan satu bidang yang menarik. Barangkali potensi dan produktiviti ini tidak dibebaskan disebabkan dasar pertumbuhan UMNO/BN yang lebih taksub dengan pertumbuhan semata-mata, jika tidak projek mega dan kontrak mewah. Projek pertanian/perternakan diusahakan atas nama membantu rakyat dan petani, tetapi sering kali berakhir sebagai projek gajah putih dan subsidi yang mengakibatkan ketirisan di atas ketidakadaan rancangan komprehensif yang berpijak kepada kenyataan masyarakat tempatan, pandangan pelbagai pihak dan pelaksanaan yang telus.

Jelasnya dinampak pada hari ini, kebanyakan tanah di Pahang masih belum diterokai dan dibangunkan. Guna tanah 2010 menunjukkan bahawa 56% tanah masih diliputi hutan, dan antara 1.2 juta hektar tanah pertanian, lebih daripada 94% diterokai untuk tujuan perladangan kelapa sawit dan getah. Pertanian sebegini lebih bersifat "capital-centred neo-economic", yang menumpukan perhatian kepada pengeluaran monokultur secara besar-besaran yang bergantung kepada penggunaan bahan kimia. Monokultur dan penggunaan bahan kimia adalah ciri-ciri utama pertanian tidak mampan. Untuk menuju ke hala tuju baru yang dapat menyuburkan ekonomi pertanian secara berdiversiti dan mampan, kita memerlukan perubahan dasar dan pelaksanaan yang tepat.

Laporan Kajian Jaminan Makanan (2003) telah melaksanakan projek kajian secara mikro ke atas 24 Kampung dari seluruh Malaysia (4 kampung dari Pahang). Beberapa cadangan yang dikumpul daripada para petani sendiri adalah:[11]

  1. Membekal lebih banyak tanah
  2. Melibatkan mereka dalam perancangan atau pembinaan infrastruktur
  3. Pencantuman ladang-ladang kecil, penggunaan jentera dan teknik moden
  4. Membentuk pertanian koperasi
  5. Selesaikan masalah kekurangan tenaga kerja

Selain itu, pembicaraan isu pertanian tidak boleh terpisah daripada dasar dan isu nasional. Faktor kejayaan ekonomi pertanian bergantung kepada tanah, prasarana, teknologi dan petani. Pengalaman Taiwan dan Thailand membuktikan bahawa seandainya faktor-faktor tersebut dapat diambil kira dalam pembentukan dasar, maka 'Reformasi Pertanian' (ataupun Reformasi Tanah, 土改 (Tu Gai) dalam Bahasa Mandarin) akan berjaya.

CADANGAN DASAR

Tanah

  1. Kerajaan melaksanakan pembebaskan tanah yang masih terbiar di Pahang. Petani akan memiliki tanah tersebut selepas membayar premium sekadar 25% hasil pertaniannya selama 10 tahun.
  2. Bagi petani yang masih memegang TOL sekarang, pilihan diberi sama ada melanjutkan TOL dengan tempoh lebih panjang ataupun memberikan opsyen memiliki tanah sendiri (Langkah 1).
  3. Menggalakkan penjualan tanah-tanah tertentu daripada pihak swasta kepada kerajaan melalui agensi pertanian dengan galakkan insentif bentuk saham/warrant supaya modal pemilik tanah dapat disalurkan ke bidang industri intensif modal. Kerajaan kemudian akan membebaskan tanah tersebut mengikut langkah 1.
  4. Menggalakkan penubuhan koperasi untuk mencapai skala ekonomi dan membuat pelaburan bersama.

Prasarana

  1. Menggalakkan dasar 'Seorang Petani sebidang tanah". Petani yang memiliki tanah tidak akan bertani secara berlebihan (over-cultivation), sebaliknya akan menitikberatkan sistem pengurusan ladang dan pemparitan.
  2. Menggalakkan kemasukan modal dan pelaburan ke luar bandar.
  3. Kerajaan membuat pelaburan secara langsung.

Teknologi dan Inovasi

  1. Pengenalan kaedah penanaman dan pertenakan moden dan insentif.
  2. Pengenalan kaedah penanaman organik/nilai tambah.
  3. Menerokai pasaran antarabangsa/eksport.
  4. Menubuhkan institusi R&D dan merekodkan tabiat terbaik (best practice) supaya dapat sebarkan kaedah tersebut kepada petani lain.

Petani

  1. Memberikan insentif supaya anak-anak petani akan melanjutkan pelajaran dalam bidang pertanian dan mempelajari teknik pertanian terkini.
  2. Menggalakkan orang muda di bandar untuk memulakan usahawanan mereka dalam bidang pertanian.

KELESTARIAN BANDAR

Pembangunan bandar bukan bab yang baru dalam rancangan ekonomi dan pembangunan. Akan tetapi, definasi 'bandar' dalam konteks Pakatan Rakyat adalah jauh berbeza dengan model UMNO/BN. Apabila semangat Ekonomi Manusiawi diambil kira, pembangunan dan perancangan bukan sekadar perkembangan fizikal dan infrastruktur semata-mata, tetapi merangkumi aspek rohani dan naluri manusia yang indah, serta kelestarian antara manusia dengan persekitaran. Pembangunan di bawah konteks ini lebih menyerupai sebentuk seni daripada bentuk kejututeraan.

Pembangunan bandar harus berteraskan kelestarian dan mutu kehidupan penduduk setempat. Pembangunan menandakan ekonomi itu hidup, anggotanya tekun dan melaksanakan tanggungjawab meningkatkan mutu kehidupan. Namun, pertumbuhan yang merampok harga diri, melebarkan jurang pendapatan serta mengkayakan segelintir kroni adalah pertumbuhan yang sesat.

CADANGAN DASAR

Pembangunan bandar manusiawi harus bersifat menyeluruh, mengutamakan Keadilan sosial dan berpaksikan rakyat/penduduk sebagai pihak berkepentingan yang senantiasa diutamakan. Maka, dasar-dasar pembangunan yang dicadangkan adalah seperti berikut:

  1. Pembangunan bandar yang berpaksi kepada penduduk– Perbanyakkan tempat awam (public space) dan insfrastruktur orang awam (taman, lorong basikal, lorong pejalan kaki dll), serta lebih pritatin terhadap golongan marhein dan Miskin.
  2. Pembangunan insan – Perpustakaan, pusat kesenian, wifi percuma, aktiviti ilmiah dan agama
  3. Pembangunan bandar yang mesra alam – Pengangkutan awam yang baik, kepadatan liputan hijau yang tinggi serta pengurusan yang mengambil kira kos persekitaran.
  4. Pembangunan bandar tanpa membisukan rakyat – Kembalikan pilihanraya kerajaan tempatan, penubuhan unit whistle-blower dan pencegahan rasuah sehingga ke peringkat kerajaan tempatan, mewajibkan rundingan awam dalam kelulusan projek, melibatkan penduduk dalam rancangan Bandar dan memperkasakan rakyat.

Pelaksanaan cadangan-cadangan yang dinyatakan di atas dijangka dapat memangkin dan membawa kesan-kesan berikut:

  1. Mewujudkan peluang pekerjaan di desa/bandar peringkat kedua
  2. Mengekalkan generasi muda di desa/bandar peringkat kedua (second-tier city)
  3. Menarik pelaburan ke desa/bandar peringkat kedua
  4. Membebaskan produktiviti di desa
  5. Meningkatkan mutu kehidupan di desa /bandar peringkat kedua
  6. Meningkatkan tahap ilmiah/kecelikan di desa/bandar peringkat kedua
  7. Meningkatkan daya tarikan bandar peringkat kedua yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan menarik (Kuantan-Kuala Lumpur, Melbourne-Sydney)
  8. Merapatkan jurang pendapatan/mutu kehidupan antara bandar mega dan desa/bandar peringkat kedua
  9. Merakyatkan ekonomi Pahang melalui pemilikan tanah oleh rakyat dan perkongsian hasil negeri
  10. Tahap kepertangungjawaban dan urus tadbir yang lebih baik

Pertumbuhan adalah penting sekali, tetapi ia bukanlah satu-satunya matlamat pembangunan ekonomi. Dengan penerapan semangat Ekonomi Manusiawi, dasar-dasar yang dicadangkan tersebut dapat melonjatkan Pahang daripada ekonomi politik yang lama, memanfaatkan rakyat secara keseluruhan, membanteras rasuah serta penyelewengan kuasa dan yang penting sekali, mencapai Keadilan sosial.

Disediakan oleh:

Lee Chean Chung

Pemangku Ketua Cabang Indera Mahkota

AJK Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN)


[2]Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Pengurusan Kewangan Jabatan/Agensi Negeri Pahang Tahun 2011, m.k 30

[8]Gelombang Kebangkitan Asia, Anwar Ibrahim, m.s 112

[11] Kajian Jaminan Makanan – 24 Kampung, Era Consumer, 2003

[12]Laporan Ketua Audit Negara, Aktiviti Jabatan/Agensi dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Pahang 2011

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PAHANG

Copyright 2010 All Rights Reserved