Selepas di Port Dickson, kami kali ini ke Cameron Highlands pula dengan rancangan asal untuk bermalam di puncak Gunung Brinchang. Malang buat kami apabila hajat untuk menikmati pemandangan dari puncak Gunung Brinchang pada waktu pagi tidak kesampaian kerana jalan ke puncak Brinchang ditutup akibat berlaku kejadian tanah runtuh.
Yang peliknya, kami hanya dapat melihat kain rentang amaran yang memberitahu jalan ke puncak Brinchang ditutup ketika kami sudah sampai hampir separuh perjalanan. Agak kecewa juga kerana kami tidak diberi amaran sejak awal-awal lagi. Sepatutnya amaran perlu diletak di simpang masuk dari jalan besar ke laluan Gunung Brinchang, bukannya di pertengahan laluan ke sana.
Dengan tertutupnya laluan tersebut, maka laluan untuk ke 'starting point' ke Gunung Irau juga ditutup. Menurut apa yang kami lihat pada amaran tersebut, laluan itu akan ditutup sehingga 1 Januari tahun depan.
Dengan perasaan yang hampa, kami terpaksa berpatah balik dan bermalam di Kem Sungai Pauh yang sepatutnya menjadi lokasi penginapan kami pada malam kedua. Kami sudah tiada pilihan lain kerana waktu ketika itu sudah menunjukkan jam 2 pagi.
Kem Sungai Pauh diurus tadbir oleh Jabatan Hutan Cameron Highlands. Kem ini lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti bilik air, surau, bekalan elektrik dan tempat untuk berbarbeque. Ketika kami sampai, kem ini agak lengang, cuma ada tiga buah khemah yang kelihatan.
Bagi yang tidak pernah berkunjung ke kem ini, jika anda dari pekan Brinchang, ambil susur keluar ke kiri di Smokehouse Guest House. Anda kemudian akan melalui bangunan Telekom Malaysia sehingga tiba di sebuah bulatan (round about) kecil, ambil pukul 3 dan terus memandu sehingga ternampak pintu gerbang Jabatan Hutan yang terletak betul-betul di selekoh jalan tersebut.
Tapak perkhemahan ini dibuka 24 jam dan mempunyai tapak letak kereta yang luas. Bayaran masuk dikenakan adalah RM10 seorang untuk sekali masuk dan bagi setiap kumpulan, bayaran tambahan sebanyak RM20 dikenakan sebagai caj penggunaan kemudahan air dan elektrik. Ekspedisi kami kali ini ditemani seorang teman rapat, Ja dan ini bermakna jumlah yang kami terpaksa bayar adalah RM50. Walaupun agak mahal bagi kami, namun kami rasakan ianya berbaloi.
Maka kami pun bermalamlah di Kem Sungai Pauh dan kerana kempunan bermalam di puncak Brinchang, kami bercerita semula kisah-kisah lama ketika bermalam di puncak tersebut suatu ketika dahulu sehingga kami tertidur.
Walaupun tidur agak lewat, namun kami bangun awal keesokan harinya. Dingin yang menggigit tubuh membuatkan kami bersemangat hendak menjelajah Cameron Highlands. Memang kami tidak merancang untuk membuat sebarang aktiviti berat, kami cuma ingin jalan-jalan sahaja.
Sebenarnya banyak aktiviti yang boleh dilakukan di Cameron Highlands. Bagi peminat aktiviti mendaki, Selain Gunung Brinchang dan Irau, Gunung Berembun, Perdah dan Jasar antara yang sering menjadi sasaran para pendaki tegar. Ketiga-tiga puncak tersebut boleh ditawan dalam masa satu hari sahaja. Namun itu semua sudah kami lakukan beberapa kali dahulu. Kedatangan kami kali ini hanya untuk makan angin.
Destinasi pertama kami adalah di kebun-kebun strawberry. Sinonim dengan Cameron Highlands, kebun-kebun strawberry di sini walaupun produk-produknya hampir serupa namun persekitaran yang disajikan adalah berbeza-beza. Setiap kebun mempunyai identiti mereka tersendiri dan ia kelihatan menarik buat mereka yang suka dan pandai menghayati keindahan alam.
Antara kebun strawberry yang terdapat di Cameron Highlands adalah EQ Strawberry Farm, Raju's Hill Strawberry Farm, Kok Lim's Strawberry Farm, Kasimanis Strawberry Farm dan Healthy Strawberry Farm. Kesemua kebun strawberry ini terletak di Pekan Brinchang.
Selain strawberry, ada sesetengah kebun tersebut turut mempamer dan menjual pelbagai jenis pokok kaktus. Namun lebih berbaloi jika anda ke kebun kaktus sendiri seperti di Cactus Point dan Cactus Valley. Bermacam-macam jenis kaktus ada, daripada yang biasa kita lihat sehinggakan kepada bentuk-bentuk pelik yang kita tak pernah lihat.
Tak tahan melihat kecomelan kaktus-kaktus kecil, Sha sempat membeli tujuh pokok kaktus dengan harga RM10. Itu yang kecil, memang murah. Bagi yang bersaiz besar, harganya boleh mencecah RM100-RM200 untuk satu jenis pokok.
Selepas puas melihat strawberry dan kaktus, kami kemudian ke Time Tunnel yang terletak berhampiran dengan Kok Lim's Strawberry Farm, Brinchang. Time Tunnel atau 'terowong masa' merupakan sebuah muzium yang diusahakan oleh seorang anak tempatan bernama See Kok Chan. Muzium ini menghimpunkan pelbagai barangan antik dan kisah-kisah sejarah di Cameron Highlands.
Dengan himpunan peribadi pelbagai barangan antik yang berharga, Kok Chan berjaya membuat setiap pengunjung yang datang menggamit semula memori silam terutama mereka yang berusia emas dan mereka yang menggemari barangan antik. Muzium ini memang menakjubkan dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Hendak tahu apa yang ada di sini, anda perlu datang sendiri dan nikmatinya. Bayaran masuk ke muzium ini adalah sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak.Di luar muzium, Kok Chan menyediakan sebuah kafe dengan berkonsepkan kopitiam lama dengan didekorasi barangan terbuang dan antik. Antara yang menarik adalah penggunaan mesin jahit lama bagi menggantikan meja makan. Harga makanan dan minuman berpatutan dan rasanya juga sedap. Di sini anda patut mencuba kopi panas dengan perasa strawberry, memang ada umph!Destinasi berikutnya adalah di Air Terjun Robinson yang terletak di Tanah Rata. Untuk ke sini anda perlu treking selama lebih kurang 20 minit. Kami tiba ketika hujan masih lagi turun dan hasilnya, kami dapat melihat air terjun tersebut dalam keadaan yang sangat menggerunkan dengan airnya yang keruh dan mengalir dengan begitu deras. Walaupun ketika cuaca baik sekalipun, air terjun ini memang tidak sesuai untuk aktiviti bermandi-manda.
Ketika senja mula menjengah, kami kemudian bergegas ke pasar malam di pekan Brinchang untuk membeli sedikit makanan untuk makan malam. Pasar malam di sini lebih kurang sama sahaja dengan pasar malam-pasar malam di tempat lain. Namun istimewanya di sini adalah buah-buahan dan sayur-sayurannya yang segar dan dijual dengan harga yang jauh lebih murah dari tempat-tempat lain. Jagung mentah menjadi pilihan kami untuk dibawa balik ke tapak perkhemahan bagi memeriahkan lagi aktiviti barbeque.
Dengan beberapa ketul ayam yang telah diperam dan dibawa siap-siap dari rumah, ditambah lagi dengan jagung mentah yang baru dibeli dari pasar malam Brinchang, hidangan kami malam itu begitu menyelerakan. Teh o panas melengkapkan lagi santapan kami pada malam yang dingin itu.
Sengaja kami bangun lewat pada keesokan harinya. Plan kami pada hari itu cuma mahu singgah di Ladang Teh BOH di Habu semasa perjalanan pulang ke Shah Alam nanti. Kami memanfaatkan baki masa yang masih ada dengan menghayati sebaik-baiknya persekitaran di kawasan tapak perkhemahan Sungai Pauh itu. Berbanding dengan tapak-tapak perkhemahan lain yang pernah kami kunjungi, ternyata Kem Sungai Pauh adalah yang terbaik setakat ini. Bukan sahaja dari segi kemudahan asas yang disediakan, malah persekitaran yang disajikan.
Lebih kurang waktu tengah hari baru kami bersiap menurunkan khemah dan berkemas untuk ke destinasi berikutnya. Ladang Teh BOH yang terletak di Habu merupakan ladang teh paling popular di Cameron Highlands selepas Ladang Teh Bharat dan Ladang Teh Sungai Palas. Terletak 14 kilometer dari Tanah Rata,
Ladang Teh BOH memberi peluang kepada pengunjungnya untuk melihat sendiri bagaimana daun teh diproses di kilangnya. Selain menyediakan kawasan untuk melihat pemandangan ladang teh (view point), di sini anda juga berpeluang untuk menikmati teh segar di sebuah kafe berhampiran dengan kilang tersebut sambil menghayati pemandangan indah hamparan ladang teh yang menghijau di sana.
Selepas puas mengambil gambar dan menjamu mata, kami kemudian bertolak ke pekan Ringlet untuk makan tengah hari sebelum pulang ke Shah Alam.
Full content generated by Get Full RSS.