ads

Selasa, 24 September 2013

06 di kuala lipis - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

06 di kuala lipis - Google Blog Search


masjid jamek <b>kuala lipis</b> - persatuan sejarah malaysia kawasan lipis

Posted: 12 Sep 2013 12:00 AM PDT

Hamdan bin Abdullah (cikgumedan@yahoo.com)
(Guru - SMK PANGLIMA GARANG ABDUL SAMAD - LIPIS)
Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis
Sewaktu Pekan Lipis mula dinaik taraf sebagai "bandar" oleh pihak Kerajaan Kolonial British pada tahun 1890, Masjid Jamek Kuala Lipis sudah pun tersergam indah di tebing Sungai Jelai.  Masjid ini bukan sahaja menjadi pusat ibadat dan kegiatan Islam yang terpenting zaman prakolonial, tetapi juga merupakan salah sebuah bangunan yang  bersejarah, dan masih kekal di Bandar Lipis hingga sekarang. Meskipun begitu, dipercayai ada masjid yang pernah dibina di kawasan Lipis lebih awal dari itu,[1] setidak-tidaknya bermula sekitar tahun 1540 serentak dengan kemasukan Islam di Kawasan Jelai pada zaman Sultan Muzaffar Syah (Sultan Pahang VI, 1530-1545 – zuriat langsung Raja Melaka).  
       Menurut Mohd Tarmuzi Haji T.A Kunci Koya,[2] Masjid Jamek Kuala Lipis telah dibina hasil keringat dan susah payah usaha sekumpulan mubaligh India dan penduduk Islam tempatan keturunan Minangkabau di bawah pimpinan seorang ulamak Arab Yemen bernama Syeikh Habib Hassan pada tahun 1888. Setelah siap dibina, masjid ini mula menjadi menjadi pusat ibadat, dan pusat kegiatan umat Islam, terutama menjadi pusat penyebaran Islam di dalam daerah Lipis ketika itu. 
          Walaupun usia Masjid Jamek Kuala Lipis kini sudah dimamah usia, yakni sudah menjangkau 122 tahun (1888-2010), namun struktur bangunan batu dan dinding papannya yang asal masih kelihatan kukuh.  Keteguhan dan keindahan masjid yang banyak "menyimpan rahsia" ini diperkirakan terletak pada pertanggungjawaban penduduk Islam tempatan, dan kemudiannya dikendalikan oleh Persatuan India Muslim.  Masjid Jamek Kuala Lipis sepanjang usianya mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Apa yang paling menarik perhatian penduduk sekitar ialah keajaiban masjid sewaktu berlaku banjir besar. Dengan kebesaran Allah swt. sebagaimana yang diceritakan oleh Mohd Tamuzi Haji T.A Kunchi Koya, "…..semasa banjir besar dalam tahun 1926, meskipun hampir keseluruhan Bandar Lipis telah ditenggelami air, tetapi apa yang menghairankan, masjid ini didapati tidak sedikit pun dicecahi air walhal lokasinya amat berdekatan dengan tebing Sungai Jelai.  Kejadian ini pada saya sungguh ajaib dan tentulah dengan kekuasaan Allah swt. Yang Maha Agung Lagi Berkuasa.   Keajaiban ini berulang lagi semasa banjir tahun 1971 di mana saya menyaksikan sendiri masjid ini sedikit pun tidak terjejas oleh banjir, sedangkan deretan kedai di sepanjang Jalan Jelai (Jelai Street) ketika itu telah ditenggelami air."  Demikianlah di antara beberapa episod kejadian aneh berlaku pada Masjid Jamek Kuala Lipis.
       Masjid Jamek ini sejak ia didirikan sehingga Masjid Daerah Lipis yang baru beroperasi, ia berfungsi sebagai tempat sembahyang berjemaah lima waktu, sembahyang Jumaat, dan sembahyang hari raya di samping menyediakan perkhidmatan kepada komuniti Islam setempat. Namun begitu, setelah Masjid Sultan Mahmud yang dirasmikan penggunaannya pada tahun 1971, maka Masjid Jamek Kuala Lipis hanya menjadi tempat ibadah sembahyang lima waktu para musafir, dan tempat rehat musafir apabila mereka mengunjungi Bandar Lipis.  Sejak itu, masjid ini tidak lagi dianggap penting, semacam terbiar dan tidak dapat diuruskan dengan baik.  Bagi mengelakkan keadaan ini menjadi lebih buruk, maka Persatuan India Muslim Lipis telah mengambil inisiatif untuk membaik pulih masjid tersebut dengan bajet pertubuhan mereka sendiri.   Dalam waktu yang sama juga, Persatuan India Muslim Lipis telah memohon kepada Pejabat Agama Islam Pahang agar membenarkan masjid tersebut dijadikan "madrasah" bagi kegunaan anak-anak masyarakat India Muslim, dan masyarakat Islam amnya.
      Sehubungan itu, memandangkan Masjid Jamek Lipis merupakan salah satu warisan sejarah tempatan prakolonial, maka Majlis Daerah Lipis (MDL) turut memberi sumbangan membiayai kerja-kerja membaik pulih masjid bersejarah ini. Setelah dibaik pulih dan boleh digunakan semula, maka Masjid Jamek Kuala Lipis telah diubah namanya kepada "Madrasatul Firdaus".   Kini Madrasatul Firdaus yang ditadbir secara langsung oleh Persatuan India Muslim Lipis menjadi "Pusat Pembangunan Pendidikan Islam" bagi komuniti India Muslim.  Imam, guru-guru agama dan kelas-kelas fardhu ain yang dijalankan di madrasah ini dibiayai sepenuhnya oleh Persatuan India Muslim.  Dari segi komunikasi pendidikan, institusi ini menggunakan sepenuhnya bahasa Tamil memandangkan pelanggan-pelanggan mereka terdiri daripada generasi muda India Muslim.
        Dalam konteks semasa, Masjid Jamek Lipis atau kini lebih dikenali sebagai Madrasatul Firdaus menjadi salah satu tempat yang perlu dikunjungi dalam pakej "historical" tourism" di Kawasan Lipis. Selain itu, masyarakat kini juga perlu menyedari betapa masjid ini "amat berjasa" terhadap pembangunan komuniti Islam prakmerdeka maupun pascamerdeka. Paling signifikan Masjid Jamek Kuala Lipis pernah menjadi Masjid Negeri sewaktu Kuala Lipis menjadi ibu negeri Pahang (1898-1955).           
[1]  Kesahihan kewujudan masjid-masjid terawal dibina sebelum tahun 1888 di kawasan Lipis memerlukan kajian lanjutan.
[2]  En. Mohd Tamuzi Haji T.A. Kunci Koya ialah Pengerusi  Madrasatul Firdaus (Masjid Jamek Bandar Lipis).  Wawancara penulis dengan Haji T.A. Kunchi Koya pada 25 Mei 2007 di Bandar Lipis.
Wawancara penulis dengan En. Mohd Tarmuzi T.A. Kunci Koya (Pengerusi Persatuan
Lipis), 75 tahun di Bandar Lipis pada 25 Mei, 2007.
Linehan, W. (1973), A History of Pahang, MBRAS : Kuala Lumpur (reprinted).

0 ulasan:

Catat Komen

 

BLOG PAHANG

Copyright 2010 All Rights Reserved