ads

Isnin, 21 Oktober 2013

06 di ketari - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

06 di ketari - Google Blog Search


BLOG PAHANG: 06 <b>di ketari</b> - Google Blog Search

Posted: 20 Oct 2013 07:08 PM PDT

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
URL Sumber Asal :-

CORETAN PEMIKIRAN: Asal-usul Kampung Janda Baik - Bahagian II

Posted: 15 Oct 2013 07:48 AM PDT



Perkampungan di Persisiran Banjaran Titiwangsa
Kamaruzaman Moidunny, PhD
Terdapat empat faktor yang dipercayai membawa kepada pembukaan Kampung Janda Baik. Faktor-faktor ini adalah faktor banjir besar di Bentong, faktor dasar penanaman getah, dasar perluasan perlombongan bijih timah dan faktor ketakutan disebabkan penjajahan Jepun di Malaysia.
Faktor Banjir Besar Di Bentong
Faktor utama adalah disebabkan banjir besar yang melanda Kampung Benus Hulu dan Benus Hilir, Bentong pada tahun 1926. Kejadian ini juga memberikan kesan kepada penduduk Kampung Ketari kerana rumah-rumah yang dibina adalah berdekatan dengan sungai. Kampung Ketari terletak kira-kira 2 km daripada Bandar Bentong. Manakala Kampung Benus Hulu dan Benus Hilir terletak kira-kira 5 km daripada Bandar Bentong. Kampung-kampung ini merupakan antara penempatan awal orang Melayu berhampiran Bandar Bentong.
                            
Gambar Foto 14: Kawasan perkampungan di Benus, Bentong yang berhampiran sungai
Malapetaka banjir besar ini telah memusnahkan kawasan pertanian dan haiwan ternakan. Sawah padi, tanaman jagung dan pisang musnah akibat banjir. Di samping mereka juga mengalami kerugian kerana kehilangan ternakan seperti kerbau, lembu, kambing, itik dan ayam. Oleh kerana bimbang kejadian yang seumpama ini berlaku lagi maka penduduk Kampung Benus (Hulu dan Hilir) telah mengambil inisiatif untuk mencari kawasan penempatan baru yang kedudukannya lebih tinggi dan selamat daripada banjir. Penempatan baru ini juga mestilah subur dan sesuai untuk bercucuk tanam. Dalam hal ini mereka mempunyai dua alternatif iaitu berpindah ke Kampung Asap di Lebu (Lihat Gambar Foto 16 dan Rajah 3) yang mempunyai jarak 15 km daripada Bandar Bentong atau berpindah ke Kampung Janda Baik yang mempunyai jarak sekitar 45 km daripada Bandar Bentong.
 Gambar Foto 15: Sebuah rumah di Kampung Ketari, Bentong yang dibina agak tinggi untuk mengelakkan banjir
Kedudukan Janda Baik di kawasan tanah tinggi (lebih kurang1,700 kaki dari permukaan laut) serta salirannya yang baik merupakan satu alternatif penting bagi penduduk Kampung Benus dan Ketari. Ketinggian ini sudah pasti membuatkan banjir sukar untuk berlaku kerana Sungai Chemperoh dan Sungai Cheringin mempunyai saiz yang lebih kecil daripada sungai yang ada berhampiran Bandar Bentong. Saiz yang kecil juga menyebabkan muatan air yang ditampung oleh kedua-dua sungai ini adalah kecil. Di samping itu, aliran air sungai adalah deras menyebabkan air tidak akan ditakung dalam masa yang lama kerana bergerak dari kawasan berbukit-bukau di hulu sungai ke kawasan tanah rendah di hilir sungai. Oleh itu, kejadian banjir amat sukar untuk berlaku di Kampung Janda Baik. Tambahan lagi, tanah di Kampung Janda Baik adalah sesuai untuk bercucuk tanam. Tanah Janda Baik juga amat subur dan sesuai untuk menanam padi. Hal ini diketahui daripada beberapa orang individu yang telah meninjau dan membuka tanah pertanian awal sebelum berlakunya kejadian banjir tahun 1926 itu.  
Pada masa tersebut, terdapat sebatang jalan yang menghubungkan Bandar Bentong dengan Hulu Kelang. Jalan tersebut dinamakan sebagai 'jalan kuda' kerana kenderaan yang biasa digunakan untuk mengangkut barang pada masa tersebut adalah kuda. Kebiasaanya perjalanan daripada Bandar Bentong ke Hulu Kelang mengambil masa lama dua hari. Orang yang menggunakan jalan tersebut kerapkali menjadikan kawasan Janda Baik sebagai tempat bermalam. Antara tempat persinggahan yang paling popular adalah puncak Bukit Tok-tok. Bukit ini merupakan landmark utama bagi pengguna laluan Bentong-Hulu Kelang yang sekarang ini terletak besebelahan dengan Sekolah Menengah Bukit Tinggi. Oleh itu Janda Baik memenuhi kehendak masyarakat Kampung Ketari dan Kampung Benus yang mencari tapak baru bagi kegiatan bercucuk tanam dan penternakan. Pada peringkat awal penerokaan di Kampung Janda Baik ini, mereka menanam padi secara sara diri yang dijalankan secara bergotong-royong.
Faktor Dasar Penanaman Getah
Pada akhir tahun 1920-an dan awal 1930-an, kerajaan Pahang dan pemilik tanah persendirian (yang majoritinya adalah berbangsa Cina) telah melaksanakan dasar penanaman getah secara besar-besaran. Hutan-hutan dara mula oleh kerajaan diteroka dan banyak kawasan ditanam dengan pokok getah dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi orang Melayu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pembukaan tanah rancangan kerajaan persekutuan seperti Felda Lurah Bilut membuktikan hal ini. Kawasan yang dahulunya menjadi punca rezeki orang Melayu Kampung Ketari dan Kampung Benus mula diambil-alih oleh kerajaan negeri. Sementera pemilik tanah persendirian juga mengusahakan tanaman getah kerana permintaan yang baik dari luar negara. Kehidupan pertanian penduduk Melayu di Ketari dan Benus terjejas kerana mereka mengusahakan ladang dengan modal dan saiz yang kecil.
 Gambar Foto 16: Suasananya kawasan Kampung Asap yang mengukir sejarah berkaitan dengan Kampung Janda Baik
Faktor Dasar Perluasan Perlombongan Bijih Timah
Dalam masa yang sama, dasar perlombongan bijih timah juga memberikan kesan terhadap penduduk Kampung Ketari dan Kampung Benus, Bentong. Sebahagian besar tanah pertanian di Bentong telah dibeli oleh dua orang saudagar bijih timah berbangsa Inggeris iaitu Tuan Peacock dan Tuan Pursey. Lantas mereka mengusahakan lombong bijih timah secara besar-besaran kerana melihat potensi usaha mereka ini akan mebuahkan hasil yang lumayan.  Oleh itu penduduk Melayu di sekitar Bandar Bentong (Ketari dan Benus) tidak berpeluang untuk bercucuk tanam dan mengusahakan penternakan kerana kekurangan tanah. Sebahagian besar kawasan pertanian dan penternakan mereka telah bertukar menjadi kawasan perlombongan bijih timah menyebabkan mereka terpaksa mencari kawasan baru untuk meneruskan kehidupan cara lama iaitu bercucuk-tanam dan memelihara binatang ternakan. Perlombongan di kawasan Batu Empat Jalan Bentong-Kuala Lumpur, di Kampung Benus dan Kampung Chamang menyebabkan kawasan pertanian dan penternakan semakin terhad. Sebagai alternatif untuk kesinambungan hidup mereka, kawasan baru terpaksa dicari. Alternatifnya, sebahagian kecil penduduk Melayu berpindah ke Kampung Asap di Lebu, Bentong dan sebahagian besarnya berpindah untuk meneroka kawasan baru di Kampung Janda Baik, Bentong.
Faktor Ketakutan Disebabkan Penjajahan Jepun di Tanah Melayu
Tentera Jepun telah menakluk Tanah Melayu selama lebih kurang tiga tahun setengah mulai 13 Februari 1942 hingga 12 September 1945. Pada masa ini, penduduk Kampung Ketari dan Kampung Benus, Bentong berada dalam ketakutan kerana bimbang disiksa oleh tentera Jepun. Kisah kekejaman tentera Jepun terhadap penduduk Tanah Melayu menjadi igauan ngeri menyebabkan usaha terpaksa dilakukan untuk menjauhkan penduduk daripada laluan tentera Jepun. Berbanding jarak antara Bandar Bentong ke Kampung Asap (15 km) dengan Bandar Bentong ke Kampung Janda Baik (45 km), Kampung Janda Baik dilihat sebagai tempat yang lebih selamat untuk penduduk menghindarkan diri daripada tentera Jepun. Jalan yang sempit dan berbukit-bukau menjadikan Kampung Janda Baik sebagai lokasi strategik penduduk untuk berada dalam zon selamat daripada kekejaman tentera Jepun. Dalam masa tiga setengah tahun tersebut, dipercayai bahawa tentera Jepun tidak pernah menjejakkan kaki ke Kampung Janda Baik.
Rajah 3: Kedudukan Kg. Janda Baik berbanding Kg. Ketari, Kg. Benus dan Kg. Asap
Peristiwa Penting Sebelum Pembukaan
Kampung Janda Baik telah dibuka pada tahun 1932. Tiga orang tokoh yang bertanggungjawab membuka penempatan di sini ialah Haji Yaseh bin Da'un, Haji Kadir bin Hitam, dan Haji Idris bin Awang. Pada peringkat awal sebelum membuka kampung ini, iaitu pada tahun 1928, mereka telah meminta kebenaran rasmi daripada Pegawai Daerah (District Officer - D.O.) berbangsa Inggeris pada masa itu. Pegawai Daerah (D.O.), warden dan pegawai hutan telah berbincang tentang permohonan ini. Permohonan ini akhirnya ditolak dengan alasan kawasan tersebut merupakan kawasan hutan simpan. Jika kawasan hutan ini diteroka, dibimbangi sungai akan kering dan hidupan liar akan lari. Alasan yang diberikan ini bersandarkan andaian kononnya orang Inggeris ingin memelihara hidupan fauna dan flora semulajadi di Tanah Melayu. Apabila jawatan Pegawai Daerah  bertukar tangan kepada seorang berbangsa Melayu iaitu Tengku Kamarulzaman pada tahun 1929, permohonan penerokaan untuk membuka Kampung Janda Baik telah dibuat sekali lagi. Oleh kerana jawatan-jawatan lain di Pejabat Daerah Bentong masih dipegang oleh orang Inggeris, permohonan ini tidak mendapat pertimbangan sewajarnya dan akhirnya ditolak.
Gambar Foto 17:  Haji Yaseh Da'un bergambar bersama penduduk Baik di atas pelantar masjid pertama kampung Janda Baik pada tahun 1933.
Usaha Haji Yaseh bin Da'un, Haji Kadir bin Hitam dan Haji Idris bin Awang tidak mengenal erti putus asa. Permohonan diusahakan buat kali ketiga iaitu pada tahun 1930. Perbincangan dengan pihak Pegawai Daerah Bentong berlangsung dengan agak tegas dan tegang, yang mana isi perbincangan menjuruskan keperluan suatu penempatan baru bagi orang Melayu di Kampung Janda Baik. Antara dialog yang diutarakan oleh mereka bertiga semasa memohon tanah Janda Baik dapatlah diringkaskan seperti berikut:
Tuan dari England datang ke Tanah Melayu ... adakah ingin membela hutan dan binatang atau memelihara manusia? Kami memerlukan tanah pertanian untuk bercucuk tanam, menanam pokok getah dan bersawah padi. Kami memerlukan tanah yang sesuai untuk memelihara ternakan. Kawasan di bandar Bentong ini, tidak sesuai lagi untuk bersawah padi dan memelihara ternakan.
   Yaseh Da'un, Kadir Hitam dan Idris Awang
Selepas perbincangan dan perdebatan yang hangat ini, kebenaran telah diberikan kepada mereka bertiga untuk mengusahakan penerokaan dan pembukaan Kampung Janda Baik. Kelulusan penerokaan tanah seluar 2000 ekar diberikan pada tahun 1931 oleh Jabatan Hutan Negeri Pahang untuk menggantikan kawasan Kampung Benus Ulu dan Benus Hilir yang telah ditenggelami banjir besar sebelum itu.  Setelah mendapat kelulusan untuk memasuki kawasan kampung ini, kerja-kerja mengukur tanah dilaksanakan. Haji Ismail bin Ibrahim telah bertindak sebagai 'tukang sukat blok tanah'. Haji Ismail bertindak untuk memecahkan lot-lot tanah berdasarkan bilangan penduduk yang memohon, agar semua penduduk mendapat bahagian yang lebih kurang sama keluasannya. Pada tahun 1932 pula, kerja-kerja menebang hutan untuk pembukaan kampung Janda Baik secara rasmi dimulakan.
Setelah mendapat tahu tentang pembukaan kampung ini maka penduduk-penduduk Melayu di Bandar Bentong terutamanya daripada Kampung Benus dan Ketari mula berminat untuk menetap di Janda Baik. Pada peringkat awal pembukaan Kampung Janda Baik, kawasan penempatan dibahagikan kepada tiga blok iaitu Janda Baik, Janda Baik Tengah dan Janda Baik Hulu. Jadual 4 di bawah ini menunjukkan nama beberapa penduduk awal yang berada dalam blok penempatan tersebut.
Jadual 4: Senarai Nama Penduduk Awal Kampung Janda Baik Mengikut Blok
Rerah, Bagoh, Hambali, Mat Rani bin Satar, Majid bin Imam Samah, Seman, Lassim bin Hambali, Anjang, Haji Sahak, Mahad, dan Tan.
Salam, Yusof bin Hj. Kadir, Sudin, Haji Kadir, Tajid, Yok, Mohammad, Ismail, dan Haji Daud
Haji Yaseh, Mohd She, Jeriah, Arifin, Haji Awang, Katini, Awangah, Deraman, Md.Abas dan Sulaiman
Pada peringkat awal pembukaannya pada tahun 1932, kampung ini hanya didiami oleh  16 keluarga sahaja. Manakala pada tahun 1935, jumlah keluarga meningkat menjadi 35. Apabila kedatangan penduduk semakin ramai ke Kampung Janda Baik, blok-blok ini semakin membesar menyebabkan nama yang diberikan tidak lagi sesuai untuk digunakan. Blok Janda Baik dipecahkan kepada dua iaitu Sum Sum dan Janda Baik. Blok Janda Baik tengah ditukar menjadi Cheringin dan Blok Janda Baik Hulu ditukarkan menjadi Chemperoh. Nama-nama blok yang awal akhirnya dimansuhkan lalu digantikan dengan nama kawasan penempatan baru masing-masing iaitu Janda Baik, Cheringin, Chemperoh dan Sum Sum. Nama-nama ini masih kekal hingga sekarang. Sekarang ini, apabila disebut Kampung Janda Baik, kawasan yang dimaksudkan adalah terdiri daripada empat kampung iaitu Janda Baik, Cheringin, Chemperoh dan Sum Sum. Jika dilihat kepada lokasi penempatan, Janda Baik merupakan pusat pentadbiran kampung ini kerana mempunyai sekolah, masjid, balairaya, padang, hotel, stadium Frenz United dan Klinik Desa.
Bagaimanapun tidak semua penduduk ini tinggal tetap di Janda Baik. Ada di antara mereka yang akhirnya keluar dan kembali semula ke Kampung Benus atau Ketari kerana sebab-sebab tertentu. Antaranya ialah disebabkan wabak penyakit kudis buta serta serangan binatang buas khasnya gajah dan harimau. Antara mereka yang kekal dan terus menetap di Kampung Janda Baik ialah Haji Ahmad, Sulaiman, Seman, Kartini, Haji Yasih, Ismail, Yok, Tajik, Sulaiman, Tan, Mahmod, Haji Sahak, Lassim, Majid dan Md Rani.
Asal Usul Nama Kampung Janda Baik
Terdapat kisah paling popular tentang asal usul nama Kampung Janda Baik ini. Kisah ini merupakan cerita turun-temurun yang diceritakan dari mulut ke mulut dan dari generasi ke generasi. Hasil daripada temu bual yang telah dilaksanakan, responden-responden yang ditemui telah mengemukakan cerita yang sama secara konsisten, sebagaimana yang dikemukakan di bawah ini.  
Sebelum orang Melayu daripada Kampung Ketari dan Kampung Benus, Bentong berpindah ke Kampung Janda Baik, kawasan kampung ini merupakan hutan belantara. Kaum-kaum orang asli telah mendahului penempatan di kawasan ini. Ketua kaum orang asli atau lebih dikenali dengan gelaran Tok Batin merupakan seorang yang kaya. Kononnya, Tok Batin yang bernama Emok, daripada satu suku kaum asli Temuan ini telah terpikat kepada seorang anak dara dari suku kaum lain yang mendiami kawasan Hulu Kenaboi, Negeri Sembilan. Kawasan Hulu Kenaboi ini merupakan kawasan yang boleh dilawati dengan menggunakan jalan hutan daripada Kampung Janda Baik.
Oleh kerana Tok Batin terlalu mencintai anak dara jelita berasal dari Hulu Kenaboi itu maka dia telah menceraikan isterinya yang bernama Endut. Tok Batin itu pun berkahwinlah dengan gadis tersebut. Beliau telah berpindah ke Hulu Kenaboi (tempat tinggal isteri baharunya) setelah mereka berkahwin. Tinggalah jandanya di kampung ini seorang diri. Tok Batin yang asalnya kaya akhirnya jatuh miskin kerana terlalu mengikut segala kehendak isterinya yang cantik itu. Apabila harta kekayaannya sudah habis dan usianya sudah tua maka isteri baharunya itu telah lari ke Jelebu, Negeri Sembilan.
Maka pulanglah semula Tok Batin itu ke Janda Baik. Dia mendapati jandanya menunggunya dengan penuh setia dan bersedia menerimanya semula sebagai suami.
Mereka pun bersatu kembali dan hiduplah mereka semula dengan kebahagiaan. Sejak dari itu kampung ini dikenali sebagai 'Janda Balik' yang diambil daripada peristiwa seorang janda 'berbalik' kepada bekas suaminya. Lama kelamaan, nama 'Janda Balik' telah bertukar menjadi perkataan 'Janda Baik' apabila perkataan pertama diulang-ulangkan dengan cepat. Dengan kata lain, perkataan 'Janda Baik' adalah hasil peristiwa seorang janda yang baik, yang sanggup 'berbalik' semula kepada suami yang telah menceraikan dan meninggalkannya di kampung ini.
Pada tahun 1934, Pegawai Daerah Bentong pada masa itu, Orang Kaya Shahbandar Dato' Hussain (Nenda kepada YAB Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak) mahukan nama kampung ini diwartakan. Orang-orang kampung telah berpakat untuk menetapkan namanya. Daripada hasil pungutan suara, terdapat tiga cadangan nama untuk kampung ini. Tiga cadangan itu adalah Kampung Tiga Haji, Kampung Hulu Benus dan Kampung Janda Balik. Nama Kampung Tiga Haji dicadangkan berdasarkan tiga orang haji yang terlibat membuka kampung ini pada peringkat awalnya iaitu Haji Yaseh bin Da'un, Haji Kadir bin Hitam dan Haji Idris bin Awang. Cadangan nama Kampung Hulu Benus pula diambil berdasarkan kedudukan Janda Baik yang terletak di bahagian hulu kepada kampung Benus Ulu dan kampung Benus Hilir. Manakala cadangan nama Kampung Janda Balik pula diambil berdasarkan peristiwa seorang janda kaum asli suku Temuan yang berbalik semula ke pangkuan bekas suaminya setelah diceraikan.
Setelah dibuat pemilihan di antara tiga cadangan nama tadi,  maka persetujuan diambil untuk memilih nama Janda Balik sebagai nama kampung ini oleh Pegawai Daerah Bentong. Nama 'Janda Balik' ini akhirnya diubah suai sedikit lalu menjadi nama 'Janda Baik'. Dengan pemberian nama itu maka secara rasmi nama kampung ini dikenali sebagai Kampung Janda Baik. Nama ini merupakan nama yang unik bersandarkan tingkah laku baik seorang perempuan yang telah diceraikan suaminya, namun sanggup untuk kembali semula kepada suaminya. Bersangkutan dengan hal ini, En. Mohd Yusof bin A. Kadir telah dilantik sebagai Ketua Kampung, Kampung Janda Baik. Jadual 5 di bawah menunjukkan senarai Ketua Kampung Janda Baik yang dilantik mulai daripada tahun 1934 hingga 2013.
Jadual 5: Senara Nama Ketua Kampung Janda Baik Mulai 1934 – 2013
En. Mohd Yusof bin A. Kadir
1934 – tidak diketahui*
Tn. Hj. Abd. Rahman bin Ismail
Tn. Hj. Abdul Rani bin Mat Piah
Maklumat tepat sedang diusahakan*

Gambar Foto 18: Tn. Hj. Jais bin Manan (Ketua Kampung 1970 -1988) bersama Batin Yat anak Chabang (Gambar kanan atas) merupakan antara orang yang terlibat menjalankan usaha mengesan lokasi kemalangan Tun Ghazalie Shafie pada tahun 1982.
Tamat Bahagian II – bahagian lain akan menyusul. Sedang disunting.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PAHANG

Copyright 2010 All Rights Reserved