ads

Ahad, 20 Oktober 2013

06 di merapoh - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

06 di merapoh - Google Blog Search


sejarah pembukaan kampung <b>merapoh</b> - persatuan sejarah <b>...</b>

Posted: 18 Sep 2013 12:00 AM PDT

Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Lipis
Kampung Merapoh yang telah dibuka sekitar tahun 1929,[1] merupakan "gate-way" ke negeri Kelantan melalui Jalan Lipis-Gua Musang.[2] Ada beberapa versi bagaimana kampung ini mendapat nama.  Versi pertama, seperti yang disebut oleh Haji Aziz bin Aki Mohamad, bahawa nama "Merapoh" dihubungkan dengan kewujudan sepohon pokok "rapoh" yang ditemui oleh sekumpulan orang Asli ketika mereka mencari rezeki di hutan-belantara. Versi kedua, nama "Merapoh" berdasarkan kisah kehidupan penduduk orang Asli yang terdedah kepada ancaman binatang buas.[3] Ada di antara mereka yang telah menjadi mangsa harimau. Apabila ditanya bagaimana harimau membaham mereka, lalu mereka menjawab, "rapoh sungguh binatang tu membaham kami". Manakala, versi ketiga, asal nama "Merapoh" ini dikatakan berdasarkan keadaan kawasan ini yang dipenuhi "repoh" (kayu kecil).
        Seperti juga tempat-tempat lain di Ulu Pahang, sebelum Merapoh menjadi sebuah perkampungan tradisional Melayu, kawasan tersebut telah didiami oleh orang Asli.   Sejak 11,000 tahun yang lalu, sekumpulan manusia primitif dari daratan Asia yang disebut "orang Mesolitik", yakni orang Asli yang kini dikenali sebagai etnik "Negrito" dan "Senoi" sudah pun mendiami Ulu Pahang.[4] Namun begitu, penghijrahan orang Melayu terawal di Ulu Pahang hanya berlaku kira-kira 2,000 tahun yang lalu, apabila "orang Melayu-Pesisir" atau disebut juga "Melayu-Jati" (Deutro-Malay) mula membuat petempatan di tebing-tebing Sungai Jelai, dan Sungai Lipis sehingga ke kemuncaknya, termasuk anak-anak sungai,[5]dan sebahagian mereka lagi telah membuat kediaman di daratan.
       Penemuan awal kawasan repoh ini dikatakan berpunca daripada kisah Dato' Panglima Sam dari Kampung Dusun, Kecau (Lipis) yang suka berburu di hutan sehingga melewati kawasan yang akhirnya diberi nama "Merapoh".  Kesesuaian kawasan dan kesuburan tanah ini menyebabkan beberapa orang penduduk Kecau seperti Haji Mat Piah, Haji Mat Samad, Aki Long, Aki Amin dan Aki Mohamad berminat untuk meneroka kawasan tersebut. Penghijrahan awal ini kemudian disusuli pula oleh sekumpulan keluarga keturunan Minangkabau dari Kampung Telang seperti Pawang Akub, Awang Bakri, Tok Mat Ayat, Tok Pawang De, dan Tok Minangkabau. Keturunan orang-orang Minangkabau ini, kemungkinan besar mereka merupakan titisan warisan kumpulan orang-orang Minangkabau (Sumatera) yang memasuki Jelai (Ulu Pahang) serentak dengan zaman pembukaan Jelai oleh nenek moyang Seri Maharaja Perba[6] pada abad ke-16M, yakni pada zaman pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (Sultan Pahang VI, 1530-1545 - zuriat langsung Raja Melaka).[7]    
           Sungai Merapoh merupakan nadi kehidupan masyarakat Kampung Merapoh ketika itu.  Sebahagian besar mereka yang tinggal di tebing Sungai Merapoh bukan sahaja menggunakan sungai ini sebagai sumber minuman dan mandi, tetapi juga sebagai sumber rezeki.  Kegiatan ekonomi utama penduduk Merapoh ialah "padi sawah", di mana tanah di daratan Sungai Merapoh amat subur, dan sesuai untuk penanaman "padi". Untuk mendapatkan bekalan air bagi penanaman padi, semua penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong membina "empangan" pada tahun 1932.  Menurut Haji Aziz Mohamad, empangan dan tali air ini kemudiannya diperbesarkan oleh kerajaan British, dan dirasmikan pembukaannya oleh almarhum Sultan Abu Bakar (Sultan Pahang) dengan mengorbankan beberapa ekor kerbau (1937).   Di samping itu, semasa pembukaan awal kampung ini, sebuah "masjid" juga telah dapat dibina hasil titik peluh penduduk kampung.
            Kejayaan pembukaan kampung ini pada umumnya bukan sahaja disebabkan pertalian keluarga dan ukhwah Islamiah yang erat di kalangan penduduk tempatan, tetapi turut diperkuatkan dengan kewibawaan kepimpinan Haji Zakaria bin Mat Piah,[8] selaku Penghulu Merapoh yang terawal.  Kini (2009) kampung yang sudah berusia sekitar 80 tahun terus menikmati arus kemajuan di bawah Pelan Pembangunan Negeri Pahang. 
1]  Wawancara penulis dengan Haji Aziz bin Aki Mohamad, 75 tahun pada 10 April 2007 di Kg. Merapuh (Lipis).  Aki Mohamad ialah salah satu keluarga yang terawal membuat petempatan di Kampung Merapuh.
[2]  Lokasi kampung ini kira-kira 98 km dari Bandar Lipis (Pahang) ke utara, dan lebih kurang 25 km dari Gua Musang (Kelantan) menghala ke selatan.
[3] Wawancara penulis dengan Haji Zakaria bin Mat Ali, 66 tahun pada 10 April , 2007 di Kg. Merapoh (Lipis).
[4]  Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa., hlm.  6-7
[6] Kemasukan orang Melayu terawal di Jelai akhir abad ke-16M memerlukan satu kajian lanjutan oleh sejarahwan 
[7]  Linehan. W., (1973)  A History of  Pahang, MBRAS : Kuala Lumpur (reprinted)., hlm. 192
[8]  Haji Zakaria bin Mat Piah – Penghulu Merapuh I meninggal dunia dalam tahun 1936.  
Buyong Adil (1972), Sejarah Pahang, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa & Pustaka.
Linehan, W. (1973), A History of Pahang, MBRAS : Kuala Lumpur.
Wawancara penulis dengan Haji Aziz bin Aki Mohamad, 75 tahun, dan Haji Zakaria bin 
Mat Ali, 66 tahun pada 10 April, 2007 di Kampung Merapoh, Kuala Lipis, Pahang.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PAHANG

Copyright 2010 All Rights Reserved