Keadaan banjir di pantai timur Semenanjung semakin buruk dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak malam tadi meningkat kepada 42,626 orang pagi ini.Semalam, jumlah yang dipindahkan sebanyak 37,136 orang.
Pahang merupakan negeri paling buruk mengalami kesan musim tengkujuh ini dengan 34,235 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis, Temerloh dan Bera.
KEADAAN BANJIR SEKITAR KUANTAN, SEMAKIN PULIH
34,058 mangsa banjir di pusat pemindahan di Pahang
Seramai 34,058 mangsa banjir masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Pahang.
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontingen Pahang, sehingga pukul 10 malam ini, semua mangsa adalah dari tujuh daerah iaitu Kuantan, Pekan, Rompin, Maran, Jerantut, Lipis dan Temerloh.
"Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 27,587 orang yang ditempatkan di 48 pusat pemindahan," katanya kepada Bernama hari ini.
Di Rompin, seramai 4,180 mangsa banjir di 14 pusat pemindahan, Pekan 3,091 mangsa di 16 pusat pemindahan, Maran, 49 mangsa di enam pusat, Jerantut 311 mangsa di 11 pusat, Lipis 21 mangsa di dua pusat dan Temerloh dengan tujuh mangsa di satu pusat pemindahan.
Sementara itu beberapa jalan utama masih ditutup akibat dinaiki air melebihi satu meter, antaranya KM 28 Jalan Sungai Lembing-Kuantan, KM 51 Jalan Kuantan-Kemaman, Batu 3 Jalan Kuantan-Gambang, KM 72 Jalan Kuantan-Segamat, KM 62 Jalan Kuantan-Rompin dan Jalan Utama Jerantut-Kuala Lipis.
Polis turut menasihati orang ramai supaya berjaga-jaga dan bersiap sedia berpindah berikutan masih berterusan, malam ini.
Di JOHOR BAHRU, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Johor meningkat kepada 2,852 orang malam ini berbanding 2,027 orang di sebelah petang.
Mengikut maklumat portal bencana Majlis Keselamatan Negara yang dikemaskini pada pukul 9 malam, peningkatan berlaku di Kluang iaitu 774 orang berbanding 233 orang di sebelah petang.
Peningkatan juga berlaku di Segamat iaitu 491 berbanding 476 orang dan Pontian 476 (403 orang); selain pembukaan semula pusat pemindahan di Muar dengan jumlah mangsa yang sama iaitu 217 orang dan di Ledang dengan lapan mangsa.
Jumlah mangsa di Batu Pahat pula menurun daripada 503 orang kepada 474 orang manakala jumlah mangsa di Mersing dan Kota Tinggi masing-masing kekal pada 194 dan 218 orang.
Menurut lamanweb Jabatan Pengairan dan Saliran, kebanyakan tempat mengalami cuaca baik dengan tiada hujan atau menerima taburan hujan antara 1mm dan 30mm (hujan gerimis dan sederhana) sejak tengah malam semalam.
Bagaimanapun, Sungai Linggiu di Kota Tinggi mencatatkan taburan hujan sebanyak 83mm yang dikategorikan sebagai sangat lebat.
Empangan Juaseh di Segamat dan Ladang Nam Heng di Kota Tinggi masing-masing menerima hujan lebat sebanyak 48mm dan 36mm.
Di KOTA BHARU, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di lima jajahan di Kelantan malam ini naik mendadak menjadikan kesemuanya berjumlah
2,078 orang berbanding 1,284 orang di sebelah petang.
Menurut portal rasmi kerajaan negeri, lebih ramai penduduk yang tinggal di Rantau Panjang dipindahkan berikutan limpahan air Sungai Golok yang terus meningkat naik.
Jajahan Kuala Krai masih menempatkan mangsa banjir paling ramai iaitu 762 orang dan berada di enam buah pusat pemindahan diikuti Pasir Mas di Rantau Panjang iaitu 681 orang yang ditempatkan di lima pusat pemindahan.
Pada sebelah petang, hanya 21 orang yang direkodkan berpindah di Rantau Panjang sebelum bencana itu terus merebak ke beberapa buah kampung lain.
Di Machang kini 230 orang masih ditempatkan di lima buah pusat manakala di Pasir Puteh 210 orang berada di tiga buah pusat.
Satu lagi jajahan yang terjejas adalah di Tanah Merah yang menempatkan seramai 186 orang di lapan buah pusat.
Paras air Sungai Golok di Rantau Panjang dilaporkan terus meningkat melebihi paras bahaya iaitu 10.39 meter melebihi bahaya 9 meter.
Sungai Lebir pada bacaannya di Tualang dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard juga masih berada pada melebihi bahaya iaitu di Tualang 35.48 meter (bahaya 35 meter) dan Jambatan Guillemard 16.84 meter (bahaya 16 meter).
Satu lagi bacaan di Sungai Kelantan iaitu di Tangga Krai bagaimanapun dilaporkan telah surut pada paras amaran berikutan tiada hujan sepanjang hari.
Menurut portal itu, tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan kecuali beberapa jalan alternatif di Kuala Krai dan Pasir Mas yang ditutup kepada kenderaan ringan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini dan cuaca pada malam ini adalah baik.
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di menurun kepada 6,052 orang malam ini berbanding 7,163 orang pada siang hari ekoran cuaca cerah di kebanyakan tempat.
Berikutan perkembangan itu, lebih 1,000 orang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah air mulai surut di sebelah petang.
Menurut portal Majlis Keselamatan Negara setakat pukul 9 malam ini, sejumlah 1,559 keluarga masih berada di 82 pusat pemindahan berbanding 91 buah pada petangnya di seluruh Terengganu.
Daripada jumlah itu, 13 buah di Hulu Terengganu, Dungun (29), Kemaman (31), Marang dan Setiu masing-masing (4) dan Setiu (1).
Kemaman mencatat mangsa banjir paling ramai pulang ke kediaman masing-masing iaitu 1,468 orang, diikuti Dungun (538), Hulu Terengganu (90) dan Marang (63).
Bagaimanapun daerah Setiu dan Besut kini mula dilanda banjir apabila hujan beralih arah ke utara Terengganu.
Sebanyak 99 mangsa dicatatkan di Setiu manakala di Besut pula enam orang daripada dua keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan Surau Kayu Kelat pukul 12 tengah hari apabila kawasan rumah mereka dinaiki air.
- Bernama
Negeri-negeri dilanda banjir diramal terus dicurah hujan
KUALA LUMPUR 5 Dis. - Cuaca di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor esok diramal mendung pada sebelah pagi manakala beberapa tempat di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan.
Menurut Jabatan Meteorologi, beberapa tempat di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan mengalami hujan pada sebelah petang dan ribut petir dijangka melanda beberapa tempat di Johor, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Putrajaya, Selangor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.
Pada sebelah malam, beberapa kawasan sekitar Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak akan mengalami hujan manakala Johor, Putrajaya serta sekitar ibu negara mendung sementara tempat-tempat lain dijangka tidak mengalami hujan.
BANJIR: Jln Bkt Sireh/Kg Bedal/Kuala Nal di Kuala Krai, Jln Pasir Puteh-Semerak di Pasir Puteh, (tutup untuk semua kenderaan ringan)

Jambatan kat Chukai Kemamam dah runtuh. Banjir makin buruk.
Kemaman bagaikan pulau5 Disember 2013
Penduduk berpusu-pusu keluar menyelamatkan diri apabila air semakin naik pada waktu tengah hari semalam.
KEMAMAN – Keadaan banjir yang semakin buruk menjadikan Kemaman kelihatan bagaikan pulau apabila beberapa kampung di Dun Air Putih dan Dun Chukai 100 peratus ditenggelami air dan pusat bandar di Chukai turut lumpuh.
Bencana banjir kali ini juga disifatkan sebagai banjir yang luar biasa dan paling buruk dalam sejarah kerana kawasan yang tidak pernah tenggelam seperti di Felda Cerul, Bandar Cheneh Baru dan Kampung Mak Chili turut dilimpahi air bah.
Kampung yang paling awal tenggelam secara keseluruhan ialah Kampung Air Putih dan Kampung Teladas di Dun Air Putih iaitu kira-kira jam 10 malam tadi.
Air yang melimpah di Taman Chukai Utama sejak lewat petang kelmarin juga mengakibatkan bekalan elektrik di bandar Chukai dan kawasan kampung sekitar termasuk Kampung Fikri, Dusun Nyior, Pengkalan Pandan dan Kuala Kemaman terpaksa diputuskan secara berperingkat sejak pagi semalam.
Keadaan jalan di Taman Chukai Utama yang menempatkan pelbagai premis bank, pasar raya, kedai dan pejabat yang terpaksa ditutup menjadikan bandar sesak kerana hanya laluan Jalan Sulaimani ke Jalan Jakar boleh digunakan oleh pengguna jalan raya.
Pejabat pasukan penyelamat turut tenggelam
Lebih teruk, Pasukan Bomba dan Penyelamat Chukai yang sibuk dengan kerja membantu mangsa banjir juga berdepan keadaan sukar apabila balai mereka di Taman Chukai Utama turut ditenggelami air.
Situasi sama turut dihadapi Pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kemaman apabila pejabat mereka di Kuarters Kerajaan, Jalan Air Putih, turut ditenggelami lebih 1 meter menyebabkan seramai 20 anggotanya yang bertugas terpaksa dipindahkan.
Puluhan kenderaan terapung
Paling menyedihkan, gara-gara air naik dengan cepat ramai penduduk di sekitar Jalan Air Putih, Chukai tidak sempat mengalihkan kenderaan menyebabkan puluhan kenderaan kelihatan terapung dan hanyut ketika tinjauan dilakukan Sinar Harian.
Mangsa banjir dari Jalan Petaling, Kampung Mak Chili, Norzilawati Mansor, 36, berkata, banjir yang melanda daerah ini kali ini sangat luar biasa kerana kawasan penempatannya sebelum ini tidak pernah dinaiki air walaupun pada banjir tahun lalu yang disifatkan sebagai paling buruk dalam tempoh 30 tahun.
"Saya sekeluarga sangat takut apabila lihat air naik dengan cepat. Air mulai naik pada jam 3 pagi tadi (semalam) dan ketika keluar dari rumah tadi air dalam rumah sudah separas betis," katanya yang dibantu oleh JPAM ketika berpindah keluar dari rumah bersama ibun, lima anak dan adik beradiknya kira-kira jam 2 petang.
Felda Cerul kali pertama kali bah
Sementara itu, ibu Norzilawati, Aishah Mohamad, 53, dari Felda Cerul yang datang membantu anaknya berpindah berkata, tidak pernah dalam sejarah Felda Cerul banjir tetapi semalam tanah rancangan Felda itu turut banjir.
"Makcik datang bantu anak berpindah tapi pada masa sama makcik diberitahu rumah di Felda Cerul juga turut dinaiki air. Semua barang di dalam rumah tidak sempat diselamatkan kerana tak jangka air akan naik di situ," katanya.
Dalam pada itu, Fatimah Salleh, 45, berkata, kawasan hadapan rumah ibunya di Kampung Mak Chili Paya ditenggelami air separas pinggang.
"Rumah ibu saya yang dihuninya dengan bapa dan tiga ahli keluarga lain adalah rumah papan dan tinggi, tetapi rumah masih dinaiki air separas buku lali. Ia menunjukkan banjir kali ini sangat buruk.
"Sejak duduk di sini pada 1983, banjir tidak pernah masuk ke dalam rumah dan ini merupakan banjir yang sangat luar biasa. Seakan tak percaya banjir buruk sebegini berlaku sekarang," katanya sambil memberitahu ibunya berpindah di Masjid Batu 2 ½ Kampung Mak Chili.
Dalam perkembangan sama, Ahli Parlimen Kemaman merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut meninjau keadaan banjir dan melawat pusat pemindahan sambil menghulurkan bantuan.
Terkini pemandangan di pusat pemindahan banjir SRJK Chung Ching, Tanah Putih
Perwakilan Umno Sedekah Al-Fatihah Kepada AJK Bahagian Pekan Yang Hilang Dalam Banjir Pusat pemindahan di Kuantan untuk menempatkan mangsa banjir yang terjejas teruk di Pahang., 5 Disember, 2013.
Keadaan banjir di Pahang dilaporkan semakin buruk apabila lebih 20,000 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan banjir, manakala dua beranak dikhuatiri lemas ketika sedang memindahkan barangan di Perkampungan Sungai Isap malam tadi.
Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, kedua-dua beranak itu dikatakan cuba memindahkan barangan dari rumah mereka yang ditenggelami air di Perkampungan Sungai Isap menggunakan sebuah bot jenis fiber.
Kedua-dua beranak itu, Jamal Ali, 40-an, yang juga AJK Umno bahagian Pekan dan anak lelakinya yang dikenali sebagai 'Megat' berusia belasan tahun dikatakan terjatuh ke dalam air ketika memindahkan barangan dari rumah mereka kira-kira jam 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, bagaimanapun butiran lengkap mengenainya masih belum diperoleh.
"Pasukan mencari dan menyelamat masih berusaha mengesan mangsa terbabit," katanya.Difahamkan kedua-dua beranak itu menggunakan bot fiber milik persendirian dan bukannya milik pasukan penyelamat bagi memindahkan barangan mereka.
Sementara itu, jurucakap bilik gerakan banjir IPK Pahang, berkata Lipis menjadi daerah keenam dilanda banjir apabila 11 mangsa banjir ditempatkan di sebuah pusat pemindahan.Daerah Kuantan masih mencatatkan jumlah pemindahan mangsa banjir tertinggi iaitu 14,044 orang yang ditempatkan di 46 pusat pemindahan.
Di Rompin, sejumlah 4,144 mangsa banjir ditempatkan di 13 pusat pemindahan, di Pekan 3,061 mangsa banjir di 13 pusat pemindahan, di Maran 1,005 mangsa di tujuh pusat pemindahan dan di Jerantut 130 mangsa di empat pusat pemindahan.
Jumlah keseluruhan mangsa banjir setakat 10 malam semalam ialah 22,395 orang. - Bernama

updated 10.00pm