ads

Ahad, 12 Januari 2014

di negeri pahang - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

di negeri pahang - Google Blog Search


Berkeliling <b>di</b> 5 <b>negeri</b> : Kelantan- Perak- Selangor-<b>Pahang</b>

Posted: 17 Dec 2013 04:23 PM PST

Pada hari kedua berada di Kuala Kangsar, rencana kami yang seterusnya adalah melawat jiran lama semasa menetap di Melbourne Australia iaitu Sallehudin Irwan dan Azrina (Iwan/Ina) serta 3 anak mereka (Yusuf, Mardhiah dan Sofia). Mereka menetap di Kg. Baru Jelapang, Ipoh bersama dengan ibubapa Azrina. Irwan bekerja dengan syarikat Swasta berkaitan dengan Computer Network. Azrina pula bekerja di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh. Jarak perjalanan dari Kuala Kangsar Ke Jelapang melalui lebuhraya Utara Selatan adalah kira-kira 40 km dan mengambil masa 37 minit. Kami bersama Mat/Jah sekeluarga bertolak ke Jelapang kira-kira pukul 1.45 tengahari.
Perjalanan ke Jelapang ini melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Sebelum sampai ke Jelapang, kami perlu menyusuri Plaza Tol Jelapang dan memasuki Terowong Menora. Lebuh raya selepas Terowong Menora agak curam dan berselekoh, menyebabkan pemanduan sedikit sukar dan mencabar. Saya terpaksa sentiasa menggunakan gear rendah dan memperlahankan kelajuan kenderaan. Sehingga akhirnya saya terpaksa menukar mode pemanduan dari otomatik kepada manual. Ini adalah kerana penggunaan gear rendah mode otomatik dirasakan kurang sesuai dengan keadaan jalan yang curam dan berselekoh.
Terowong Menora terletak di bawah Banjaran Keledang, negeri Perak. Terowong sepanjang 800 meter ini merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Utara-Selatan. Ianya terletak di antara Plaza Tol Jelapang dengan Kuala Kangsar dan Changkat Jering di Kilometer 260 atau 2 km di utara Plaza Tol Ipoh.

Terowong Menora ini dibuka secara rasmi pada tahun 1986. Ada dua terowong sebelah menyebelah. Selepas terowong ini ke arah selatan, keadaan lebuh raya agak curam dan berselekoh dan banyak kenderaan berat seperti lori dan bas tersasar atau terbabas hingga ke kaunter tol di Plaza Tol Ipoh. Lebuh raya ini dipanggil jajaran maut kerana brek bas dan lori tiba-tiba tidak berfungsi dan hilang kawalan. Oleh itu, pemandu dinasihatkan agar sentiasa menggunakan gear rendah semasa menuruni sesebuah lebuh raya berbukit seperti laluan Jelapang-Terowong Menora ini.
Destinasi kami seterusnya adalah Mydin Mall yang terletak di Meru jaya. Semasa dalam perjalanan, Azrina memaklumkan bahawa Irwan akan menunggu kami di hadapan Mydin Mall bagi memudahkan perjalanan ke rumah ibubapa Azrina. Dengan bantuan adik ipar saya iaitu Mohamad, kami sampai ke Mydin Mall Meru Jaya tanpa masalah. Selepas beberapa ketka menunggu, Irwan pun sampai dan seterusnya menuntun kami ke kediaman beliau. Perjalanan dari Mydin Mall ke rumah ibubapa Azrina adalah kurang daripada 10 minit. Selepas setengah jam bersua muka, bertanya khabar, berkenalan dan bercerita dengan Irwan/Azrina, anak-anak dan kedua ibubapa mereka, kami meminta izin untuk pulang.
Dalam perjalanan pulang ke Kuala Kangsar, kami singgah di TESCO Ipoh, untuk solat Asar dan membeli beberapa barang keperluan. Usai solat Maghrib, kami bertolak pulang dan sampai ke rumah adik saya di Kuala Kangsar kira-kira pukul 9.00 malam. Berikut ini adalah gambar-gambar yang sempat dirakam untuk hari kedua kami berada di negeri Perak.











Selepas berkeliling Ipoh terutama Jelapang, pada hari ketiga kami meneruskan rencana dan perjalanan melawat tempat-tempat menarik di sekitar bandar Kuala Kangsar. Kuala Kangsar terkenal dengan nama Bandar Diraja. Sesuai dengan namanya sebagai Bandar Diraja banyak tempat bersejarah dan menarik terdapat di sini. Di antaranya ialah Istana Iskandariah yang tersergam megah. Selain Istana Iskandariah di bandar ini juga banyak peninggalan-peninggalan sejarah lainnya. Di antaranya ialah Masjid Ubudiah, Istana Kuning atau Istana Kenangan (Muzium Diraja), Galeri Sultan Azlan Syah yang berada di Bukit Chandan. Selain itu terdapat juga Malay College Kuala Kangsar (MCKK), Menara Jam Besar Kuala Kangsar, Menara Pavilion dan banyak lagi.

Bandar Kuala Kangsar disaliri oleh Sungai Perak dan di atasnya terdapat sebuah jambatan besar yang cantik iaitu Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah. Di sepanjang Sungai ini pula terdapat rumah-rumah yang dibina bergayakan seni bina Melayu. Manakala di beberapa bahagian di tebing sungai ini, terdapat dataran di mana penduduk tempatan dan pelancong datang berkunjung dan berkumpul.

Sepanjang perjalanan dan lawatan di Perak, kami ditemani oleh adik perempuan sekeluarga. Perjalanan ke tempat-tempat yang hendak dituju menjadi mudah kerana saya hanya perlu mengikut kenderaan yang dipandu oleh Mohamad, adik ipar saya. Mohamad (kami memanggilnya Mat), anak jati negeri Perak menjadi penunjuk arah sekali gus sebagai pemandu pelancong bagi kami. Terima kasih kepada Mat/Jah sekeluarga kerana menjadi tuan rumah, pemudah cara dan teman seperjalanan sepanjang 3 hari kami berada di Perak.

Agenda kami pada hari ketiga adalah melawat tempat-tempat menarik atau bersejarah yang terdapat di Bandar Diraja Kuala Kangsar. Selepas itu hajat yang seterusnya adalah melawat Zoo Taiping. Kami bertolak untuk melawat ke tempat-tempat yang dihajati tersebut lebih kurang pukul 8.30 pagi. Di antara tempat-tempat yang sempat kami lawat di Bandar Diraja Kuala Kangsar adalah MCKK, Menara Jam Besar, Menara Pavilion, Masjid Ubudiah, Istana Kuning atau Istana Kenangan dan Galeri Sultan Azlan Shah. Di antara tempat yang paling lama kami habiskan masa melawatnya adalah Galeri Sultan Azlan Shah. Perasaan sedikit terkilan kerana tidak dapat masuk dan melihat bahagian dalam Muzium Diraja Perak iaitu Istana Kenangan. Semasa kunjungan kami, muzium tersebut ditutup buat sementara waktu untuk kerja-kerja baik pulih. Berikut adalah gambar-gambar yang sempat kami rakam semasa kunjungan tersebut.


Menara Pavilion-termasuk bangunan bersejarah di Bandar Diraja Kuala Kangsar.
Bangunan ini terletak di Jalan Bendahara, Kuala Kangsar. Bangunan ini telah dibina pada tahun 1920, semasa pemerintahan Sultan Iskandar Shah yang memerintah 1918-1938. Arkitek yang merekanya adalah N.E. Don B.C.D. Ia telah digunakan sebagai tempat berehat Sultan Iskandar Shah selepas perlawanan polo. Walaupun Menara Pavilion tidak digunakan lagi sekarang, tetapi ianya telah dipilih sebagai salah satu tempat tarikan bagi pelawat yang datang ke Kuala Kangsar.

Masjid Ubudiah terletak di Bukit Chandan Kuala Kangsar, Perak. Masjid ini dibina  melalui dekri Sultan Idris Mursyidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28 untuk memenuhi nazar baginda. Masjid dengan pengaruh seni bina `Saracenic' (Islam-India)  direka oleh Arthur Benison Hubback (1871-1948), seorang arkitek British yang menjadi Brigadier Jeneral semasa Perang Dunia Pertama. Selain Masjid Ubudiah, beliau banyak meninggalkan 'hasil tangan' yang lain. Di antara bangunan yang direka oleh Arthur Benison Hubback adalah Stesen Keretapi KL, Bangunan Pentadbiran Keretapi Kuala Lumpur, Masjid Jamek, Kuala Lumpur, Carcosa Sri Negara Kuala Lumpur, Extensions Kelab Diraja Selangor, Stesen Keretapi Ipoh, Bangunan Dewan Bandaraya Ipoh, Panggung Bandaraya KL, Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Selangor dan Perpustakaan Negeri, Seremban.
Kerja-kerja pembinaan telah diletakkan di bawah pengawasan Caufield, Ketua Jurutera Negeri Perak pada masa tersebut. Pada 26 September 1913, majlis meletakkan batu asas bagi masjid telah berlangsung. Sultan Idris telah merasmikan majlis itu, yang turut dihadiri oleh Sir Arthur Young, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan orang kenamaan yang lain. 
Masjid ini berbentuk segi lapan, dengan keseluruhan saiz adalah 96 kaki diameter, manakala masjid sebenar meliputi kawasan 60 kaki.  Kedudukan mihrab  masjid ini terletak di barat laut, manakala di utara- timur terdapat tangki air dan pili air untuk mengambil wuduk. Kawasan ini juga dalam bentuk segi lapan dengan diameter 30 kaki. Di samping itu, di selatan-timur dan selatan-barat bahagian masjid terdapat serambi anjung yang berkeluasan 27 kaki persegi. Seluruh masjid dikelilingi oleh  dinding 35 kaki dihiasi  dari bangunan utama dengan dua pintu masuk. Oleh kerana pengaruh seni bina India-Islam terdapat banyak kubah, menara dan gerbang. Pembinaan masjid ini telah dibina sepenuhnya daripada batu bata konkrit. 
Bahagian dalam masjid itu ditutupi dengan kubah yang saiz diameternya adalah 60 kaki , 140 kaki tinggi dan dikelilingi oleh 4 menara yang tingginya, 126 kaki . Ia juga dilengkapi dengan tangga untuk memudahkan penggunaannya. Di samping itu, terdapat dua kubah dipasang di luar serambi anjung, bilik mandi dan mihrab dengan menara kecil di setiap dua sudut masjid segi lapan atau oktagon ini. Di samping itu, terdapat juga tangga marmar antara bilik air dan bangunan utama masjid untuk menyambung menara. Lantai Masjid dibina 4 kaki tinggi dari aras tanah dengan tangga marmar di sekelilingnya. 
Untuk mencantikkan masjid, marmar yang diimport dari Itali telah digunakan. Lantai bahagian dalam masjid, serambi anjung, bilik mandi dan tangga adalah daripada marmar putih dengan marmar hitam sebagai sempadan. Marmar merah juga digunakan di serambi anjung luar , tangga dan bilik mandi. Pembinaannya pernah ditangguhkan untuk beberapa ketika oleh kerana marmar yang diimport dari Itali lewat tiba disebabkan Perang Dunia I. 
Masjid ini siap dibina dan dibuka secara rasmi pada tahun 1917 oleh Sultan Abdul Jalil Nasaruddin Shah, setahun selepas kematian Sultan Idris. Kos pembinaan masjid ini ialah $24,000. Selain menjadi mercu tanda Kuala Kangsar, Masjid Ubudiah juga adalah naungan iman bagi Bukit Chandan dan masyarakatnya.




Dikenali juga sebagai Muzium Diraja Perak. Pembinaan istana ini bermula pada tahun 1926 dan ia telah siap lima tahun kemudian. Berbentuk seperti pedang, seluruh istana telah dibina tanpa pelan dan tiada paku besi digunakan. Dindingnya diperbuat daripada buluh yang dianyam dan coraknya bermotifkan berlian yang dikenali sebagai "kelarai".




Galeri Sultan Azlan Shah  telah dibuka secara rasmi oleh DYMM Sultan Perak pada 9 Disember 2003. Sebelum ini, istana yang dipanggil "Istana Hulu" atau "Istana Kota" yang terletak di Bukit Chandan, adalah istana konkrit yang pertama dibina di Negeri Perak. Ia dimiliki oleh Almarhum Sultan Idris Murshidul Azam Shah, Sultan Perak ke-28  (1887-1916 ). Ia mula dibina pada tahun 1889 dan siap pada tahun 1903 . Pada 1916, istana ini telah diduduki oleh anak baginda, Almarhum Sultan Abdul Jalil. Dua tahun kemudian, ia telah diduduki oleh cucu baginda , Sultan Yussuff Izudin Shah, Sultan Perak ke-32 (1948-1963).

Pada tahun 1954 , "Istana Hulu" telah dimiliki oleh Kementerian Pelajaran. Pada tahun 1957, bangunan ini telah bertukar menjadi sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Istana Kota. Pada tahun 1970, nama Sekolah Kebangsaan Istana Kota telah ditukar kepada Sekolah Raja Perempuan Muzwin , ianya adalah nama DYMM Raja Perempuan Perak, Raja Muzwin Binti Raja Ariff. Pada tahun 1996, Sekolah Raja Perempuan Muzwin berpindah ke bangunan baru. Bangunan ini telah dicadangkan untuk dijadikan Galeri Sultan Azlan Shah .

Galeri ini mempamerkan sejarah Sultan Perak Darul Ridzuan. Selain sejarah kesultanan negeri Perak, pembinaan Galeri Sultan Azlan Shah juga memaparkan gabungan unik seni bina, seperti bumbung yang unik berbentuk ' Bumbung Limas ' yang diperbuat daripada ' Nyeri , struktur bumbung seperti piramid yang menarik. Manakala reka bentuk keseluruhan adalah kombinasi ciri-ciri estetika tempatan dan kolonial. Semasa awal pembinaan, bahan binaan telah import dari luar negara - jubin atap dari Perancis, manakala dinding dan jubin lantai adalah Itali - Manakala kayu 'Cengal ' dan ' Meranti ' tempatan terbaik digunakan untuk bingkai .

Pelbagai barangan memorabilia dan barang-barang peribadi daripada Sultan Perak dipamerkan di galeri ini . Terdapat juga sebuah bangunan yang berasingan untuk memaparkan kereta negeri dan kereta peronda yang digunakan dalam perjalanan Sultan Azlan Shah. Sebuah kedai cenderamata yang menjual barangan yang berkaitan dengan Kesultanan Perak juga boleh didapati di sini. Berikut adalah sebahagian gambar yang dirakam oleh lensa kamera semasa kami melawat Galeri Sultan Azlan Shah.














Selepas menghabiskan masa lebih 4 jam melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah di Bandar Diraja Kuala Kangsar, kami pun beredar untuk ke destinasi berikutnya iaitu Zoo Taiping & Night Safari. Sebenarnya banyak lagi tempat-tempat menarik atau bersejarah di Bandar Diraja Kuala Kangsar yang belum kami lawati dan jelajahi. Mungkin di lain masa dan kesempatan, kami akan datang lagi ke bandar ini. In Sha Alllah!. Biarpun belum puas menjelajahi Bandar Diraja Kuala Kangsar ini, kami terpaksa beredar ke Zoo Taiping & Night safari seperti yang telah dirancang sebelum ini. Ikuti penjelajahan kami ke Zoo Taiping & Night Safari di entri seterusnya!!

Sebelumnya : Berkeliling di 5 negeri : Kelantan-Perak-Selangor-Pahang-Terengganu (Bahagian1: Kelantan-Perak)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PAHANG

Copyright 2010 All Rights Reserved