ads

Rabu, 9 April 2014

06 di jengka - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

06 di jengka - Google Blog Search


Murid 12 Tahun <b>di</b> Felda <b>Jengka</b> 5 Derita Kanser Prostat | Suara <b>...</b>

Posted: 01 Apr 2014 07:12 PM PDT

Murid 12 Tahun di Felda Jengka 5 Derita Kanser Prostat

Kanak-kanak Kanser

MARAN – Walaupun kanser prostat adalah penyakit yang dikaitkan dengan lelaki berumur 50 tahun ke atas namun hakikatnya kanser tersebut turut berisiko dihidapi mereka yang berusia jauh lebih muda.

Ini yang terpaksa dilalui Mohd. Zahiruddin Mustafa, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 5 yang disahkan menghidap penyakit berbahaya itu sejak September lalu sekali gus menyebabkannya terpaksa melupakan keriangan zaman persekolahan.

Anak kelima daripada enam beradik itu kini terlantar selepas sel kanser merebak ke saraf tulang belakang serta bahu.

Bapanya, seorang peneroka Felda Jengka 5, Mustafa Othman, 70, berkata, kanser tersebut dikesan selepas mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh tahun lepas.

"Mohd. Zahiruddin menerima rawatan sebelum Ramadan lagi. Dia kemudian menjalani pembedahan membuang saluran kencing dan najis pada 31 Januari lalu selepas sembilan kali menjalani kemoterapi," katanya kepada Utusan Malaysia di rumahnya di sini baru-baru ini.

Beliau ditemui semasa program ziarah prihatin oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komuniti dan Multimedia negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Mustafa berkata, mereka tidak menyangka Mohd. Zahiruddin menghidap kanser kerana anaknya itu sangat cergas bersukan.

Tambah beliau, oleh kerana kurang pengetahuan, mereka tidak sangka masalah dialami Mohd. Zahiruddin yang sering mengadu sakit ketika membuang air kecil malah mengambil masa begitu lama di bilik air sehingga menangis menahan kesakitan adalah simptom kepada kanser prostat.

Sementara itu, ibu kanak-kanak itu, Rokiah A Rahman, 48, terpaksa berhenti daripada mengajar di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Jengka 5 bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada Mohd. Zahiruddin.

Beliau berkata, tiada lagi rawatan yang ditawarkan pihak hospital kecuali pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengikut jadual ditetapkan dan yang terdekat pada bulan depan.

Menurutnya, Mohd. Zahiruddin kini bergantung kepada ubat penahan sakit manakala telefon bimbit menjadi peneman sepanjang masa bagi melayari akaun Facebook 'ZahirJengka' untuk berhubung dengan dunia luar.

Tambah beliau, Mohd. Zahiruddin juga terpaksa menggunakan beg khas yang hanya dijual di hospital tertentu untuk membuang air besar.

Sementara itu, Shahaniza sangat terharu dengan ketabahan Mohd. Zahiruddin menanggung kesakitan kanser prostat yang biasanya dihidapi golongan dewasa.

"Saya bersedia membantu Mohd. Zahiruddin dan keluarganya mengikut keperluan mereka. Malah saya sendiri akan memantau perkembangan kesihatan kanak-kanak ini dan berdoa Allah memulihkan kesihatannya agar dapat kembali ke sekolah," katanya. – Utusan Malaysia

NOTA: KEPADA WARGA FELDA YANG MEMPUNYAI PERKONGSIAN, LUAHAN, PENDAPAT DAN CADANGAN UNTUK DIMUATKAN DIDALAM FeldaVoice BOLEH HUBUNGI EDITOR MELALUI EMAIL DI editor.feldavoice@gmail.com

Artikel disiar pada April 2, 2014 - 10:12 am oleh Nor Azlina Shaari

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PAHANG

Copyright 2010 All Rights Reserved