ads

Sabtu, 5 April 2014

06 di sungai lembing - Google Blog Search


URL Sumber Asal :-

06 di sungai lembing - Google Blog Search


<b>Sungai Lembing</b> (2): Melihat Matahari Terbit <b>di</b> Kemuncak Bukit <b>...</b>

Posted: 03 Apr 2014 07:14 AM PDT

Pada awal pagi sebelum masuk waktu subuh kami sudah berada di kaki Bukit Panorama, Sungai Lembing, Pahang. Kira-kira jam 5.00 pagi kami mula melangkah anak-anak tangga menuju ke kemuncak. Kami hendak melihat matahari terbit di atas kemuncak Bukit Panorama.
Suasana amat gelap sekali ketika itu. Kami membawa lampu suluh supaya dapat melihat dengan jelas anak-anak tangga itu. Satu demi satu anak tangga kami naiki. Mula-mula tidak terasa penatnya, tetapi apabila perjalanan semakin jauh dan masih tidak sampai-sampai barulah tertanya-tanya, "Bila nak sampai ni?"
"1,200 kaki tingginya dan ada lebih kurang 1,100 anak tangga." Itulah anggaran ketinggian Bukit Panorama sebagaimana diberitahu oleh seorang anak muda Sungai Lembing yang menemani saya dan anak-anak saya.
Orang ramai mendaki bukit itu. Ramai daripada mereka golongan muda dan pelbagai bangsa.

Suasana gelap, sejuk dan di kelilingi hutan kecil tidak kami peduli.

Ketika hampir sampai ke kemuncak, azan subuh berkumandang. Kami bercadang solat subuh di atas kemuncak. Saya berjalan dengan perlahan-lahan. Anak-anak saya dan seorang anak muda Sungai Lembing tadi menemani saya supaya saya selamat mendaki.

Kawan-kawan saya telah jauh meninggalkan saya.
Tingginya Bukit Panorama amatlah terasa.

Akhirnya saya sampai jua ke kemuncak sejam kemudian walaupun terasa amat penat. Saya rasa tidak percaya saya telah sampai ke kemuncak Bukit Panorama yang tinggi itu.

Saya lihat kawan-kawan saya sedang solat jemaah di atas  tanah di atas bukit itu. Lalu saya terus berjemaah di situ.


Selesai solat subuh kami terus menanti matahari terbit di satu bahagian kemuncak bukit itu. Ramai orang sudah berada di situ dengan kamera masing-masing menanti matahari muncul dari kaki langit. Ada beberapa jurugambar meletakkan kamera di atas tripod dan membidik kamera masing-masing.
Indahnya panorama. Kabus putih menyelimuti alam. Nun di kejauhan ada sebuah gunung yang kelihatan kebiru-biruan diselubungi kabus putih. Di latar hadapannya terdapat gunung-ganang yang terbanjar merentang suasana. Indahnya bagai lukisan. Tiba-tiba matahari yang bulat bersinar seperti sebuah bola api besar muncul dari balik sebuah gunung. Terdengar suara orang ramai yang gembira dengan kemunculan bebola api itu. Masing-masing mengambil gambar bebola api itu bagaikan tidak mahu melepaskan ia pergi.


Bebola api naik perlahan-lahan ke atas langit. Langit dan gunung-ganang yang pada mulanya kebiru-biruan di balik kabus kini bertukar warna menjadi kemerah-merahan. Keindahan  'magic hour' ini hanya sekejap sahaja. Syukurlah kami sempat menyaksikannya.

Kami di sini menikmati keindahan ciptaan Tuhan sehinggalah cerah dan puas. Akhirnya kami turun kembali dari kemuncak Bukit Panorama. 
Sepanjang jalan menuruni bukit kami dapat menikmati suasana indah di bawah bukit dari atas Bukit Panorama pula. 


Begitulah pengalaman kami mendaki Bukit Panorama dan menyaksikan keindahan matahari terbit. Lepas ini kami hendak mendaki ke Air Terjun Pelangi pula.

...bersambung

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

BLOG PAHANG

Copyright 2010 All Rights Reserved