Sabtu, 17 September 2011

06 di gebeng - Google Blog Search

06 di gebeng - Google Blog Search


Al-kisah rare earth <b>di Gebeng</b>. | Hemi Sfera

Posted: 26 Apr 2011 08:59 PM PDT

Petikan dari Utusan Online:

*********************************************************************

Persepsi berat sebelah kilang nadir bumi

Oleh Azmi Hassan

TIADA yang pelik apabila kerajaan menubuhkan satu panel bebas yang terdiri daripada pakar antarabangsa untuk membuat kepastian terhadap aspek kesihatan dan keselamatan kilang pemprosesan nadir bumi milik Lynas Malaysia Sdn. Bhd. di kawasan perindustrian Gebeng, Pahang.

Ada yang berpendapat langkah tersebut diambil kerana tekanan daripada pihak yang membantah kerana kilang tersebut akan mengeluarkan sisa yang mempunyai radiasi tahap rendah. Memang benar telahan tersebut seperti yang dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan projek-projek yang boleh menjejaskan keselamatan rakyat.

"Apa yang patut dilakukan berdasarkan prinsip utama, bahawa kesihatan dan keselamatan rakyat tak akan dikompromi, kita juga tak akan benarkan (kilang tersebut) pra-operasi sehingga keputusan muktamad dibuat," tegas Perdana Menteri ketika mengulas penubuhan panel bebas tersebut. Jaminan yang telah diberikan Najib adalah manifestasi kerajaan bahawa tiada perkara yang perlu disembunyikan mengenai pembinaan kilang pemprosesan nadir bumi itu.

Mungkin ramai tertanya-tanya mengapakah isu kilang di Gebeng ini tiba-tiba mendapat perhatian, sedangkan urusan pembinaan telah bermula sejak akhir tahun 2007 lagi dan kini hampir 80 peratus siap. Terdapat beberapa bantahan pada ketika itu tetapi isu tersebut tidak menarik perhatian media dan rakyat seperti yang berlaku hari ini yang telah mencetuskan fenomena ketakutan.

Tidak dapat dinafikan masalah kebocoran radiasi loji nuklear Fukushima, Jepun dan ditokok tambah dengan rencana berat sebelah mengenai bahaya loji nuklear telah mengapi-apikan lagi sentimen perasaan takut terhadap bencana yang bakal dihadapi akibat sisa kilang nadir bumi di Gebeng.

Begitu juga dengan hujah yang mengatakan sisa nadir bumi akan memudaratkan kesihatan kerana radioaktif, selain menyembunyikan fakta seperti langkah pencegahan yang telah diatur juga akan memberi gambaran berat sebelah. Memang benar sisa kilang nadir bumi mempunyai radiasi tetapi kehadiran elemen tersebut dapat dikawal dan dikekang supaya tidak memudaratkan manusia.

Pihak yang membantah juga gemar mengemukakan hujah bahawa hanya negara China mempunyai kilang memproses nadir bumi kerana negara tersebut tidak mempunyai kawalan keselamatan dan alam sekitar yang ketat. Pihak yang sama juga menegaskan nadir bumi yang akan diproses di Gebeng berasal dari lombong Mount Weld, Australia Barat tetapi diproses di Malaysia.

Gambaran yang cuba ditanam kepada rakyat Malaysia ialah betapa mudaratnya nadir bumi ini sehinggakan Australia tidak mahu memprosesnya dan Gebeng dijadikan pusat pembuangan sisa toksik yang mengandungi radiasi.

Tetapi perlu ditekankan juga bahawa Amerika Syarikat (AS), iaitu sebuah negara yang mempunyai perundangan perlindungan alam sekitar yang lebih ketat daripada Australia telah memperkenalkan satu rang undang-undang untuk memulihkan industri pemprosesan nadir bumi. Ini kerana pada satu ketika dahulu (1965-2000), AS adalah pengeluar terbesar elemen nadir bumi melalui lombong Mountain Pass, California.

Tetapi dengan kehadiran China memproses nadir bumi pada awal tahun 2000, ia telah memaksa lombong Mountain Pass ditutup kerana China mampu memproses bahan tersebut dengan menggunakan kos yang lebih rendah. AS akur keputusan memberhentikan operasi Mountain Pass telah mengakibatkan China mengawal lebih daripada 96 peratus pengeluaran nadir bumi pada hari ini.

Oleh kerana elemen nadir bumi banyak digunakan dalam komponen peralatan termaju seperti bateri kereta hibrid, peranti komunikasi seperti ipad dan peluru berpandu pintar maka nadir bumi dianggap sebagai bahan komoditi strategik. China sebenarnya telah banyak kali menggunakan nadir bumi sebagai ugutan dengan menyekat bekalan bahan tersebut kepada negara yang bertelagah dengan Beijing.

Besar kemungkinan kilang memproses nadir bumi Mountain Pass akan mula beroperasi pada 2012 dan seperti mana kilang Lynas di Gebeng, langkah pencegahan dan keselamatan telah disusun untuk memastikan kemudaratan sisa nadir bumi tersebut dapat dikawal. Sebenarnya telah berlaku kebocoran sisa kilang Mountain Pass pada 1998 dan banyak pengajaran telah dipelajari supaya kesilapan serupa tidak berulang pada hari ini.

Begitu juga dengan masalah kilang nadir bumi di Bukit Merah milik Mitsubishi Chemicals yang terpaksa ditutup pada 1992, sebenarnya banyak pengajaran dan iktibar yang boleh diambil. Memang benar proses pembersihan masih belum tamat walaupun sudah 20 tahun berlalu tetapi yang penting langkah pengawalan tetap diteruskan. Pengawalan kebocoran radiasi adalah satu langkah yang berterusan kerana kebocoran loji nuklear Chernobyl umpamanya selepas 25 tahun berlaku, proses pembinaan hadangan masih belum tamat.

Jika hendak dihalang semua teknologi yang mengeluarkan sisa radioaktif, maka secara logiknya penggunaan kuasa nuklear untuk meraih elektrik juga perlu disekat. AS telah belajar daripada kesilapan memberhentikan pembinaan loji nuklear akibat peristiwa kebocoran loji Three Mile Islands pada 1979 kerana hari ini AS jauh ketinggalan dalam hal ini. Pada ketika ini hanya 20 peratus kuasa elektrik AS dihasilkan melalui tenaga nuklear berbanding dengan Perancis sebanyak 80 peratus. Begitu juga dengan penutupan kilang Mountain Pass sebenarnya lebih banyak memberi kemudaratan kepada AS yang mahu menjana kuasa yang lebih mesra alam.

Agak begitu ironis kerana sebahagian besar aktivis yang membantah adalah pihak yang sama memperjuangkan kempen menyelamatkan bumi, sedangkan komponen nadir bumi adalah kritikal untuk peranti mesra alam. Begitu aneh jika ada yang menggunakan peranti ipad untuk menyalurkan maklumat bantahan pembinaan kilang Gebeng, sedangkan nadir bumi yang akan diproses banyak digunakan dalam ipad tersebut.

Penulis ialah GeoStrategis Institut Teknologi dan Sains GeoSpatial (INSTEG), Universiti Teknologi Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Komen

ads