Erm... pertama kali saya singgah di pekan Rompin, perkara pertama yang terlintas di fikiran saya ialah ketenangan. Tiada kesibukan di sini malahan pekan Rompin kelihatan lengang dengan aktiviti penduduknya yang pelbagai. Namun saya menyukai pekan ini. Aroma pekan ini mengingatkan saya tentang beberapa pekan lama di Perak Darul Ridzuan yang pernah saya ulas dahulu. Ia sebuah pekan perkampungan dan perladangan yang punya nilai klasik namun nilai-nilai tersebut masih ada dan memberikan sejuta satu makna bagi yang bernostalgia.
Sejujurnya saya memang tidak tahu dimana letaknya pekan Rompin, Negeri Sembilan ini. Yang paling lekat di kepala saya cuma Taman Negara Endau - Rompin. Berkenaan dengan pekan Rompin pula memang saya tidak terfikir langsung. Namun setelah mendirikan rumah tangga dengan gadis manis dari Gemas, barulah saya mengetahui tentang pekan Rompin ini. Mulanya, saya menyangkakan pekan ini sebuah pekan yang besar dan sibuk. Namun setelah sampai, melonjak saya sendiri kerana pekan Rompin sebenarnya masih menyimpan sesuatu yang sangat saya gemari .... lintasan keretapi dan pondok hentian keretapi lama yang sangat klasik !
Saya berjalan kaki ditengah terik matahari petang meneroka pekan Rompin ini. Keadaanya lengang dan kelihatan beberapa penunggang motosikal tidak memakai helmet di jalan raya. Perkara pertama yang bermain di fikiran saya ialah lintasan keretapi rata awam yang merintangi jalan raya utama pekan ini menuju ke Bahau. Agaknya memang rezeki saya .... sewaktu saya berjalan menuju ke lintasan tersebut, pintu pagar jalan telah ditutup. Ini bermakna ada keretapi yang akan lalu !!!!... ini perkara yang sukar dilepaskan.
Lintasan keretapi merentangi jalan utama di pekan Rompin
Pengguna jalan raya berhenti sebentar
menantikan keretapi lalu.
Seorang lelaki tua berbangsa India menegur saya. Tersenyum dia melihat saya bersedia dengan kamera untuk mengambil gambar keretapi lalu. Agaknya, dia hairan melihat ada juga manusia yang tertarik dengan lintasan keretapi pekan Rompin ini. Lebih kurang lima minit kemudian kami sudah terdengar bunyi sayup keretapi dari jauh. Pekerja KTM yang bertugas menjaga pagar keselamatan mula menunjukkan isyarat tangan supaya saya bersedia mengambil gambar. Sayangnya... saya terlepas untuk mengambil gambar lokomotif ( kepala ) keretapi berkenaan kerana kamera saya secara tiba-tiba terpadam. Kecewa sungguh saya pada ketika itu. Mujur juga kamera itu dapat dihidupkan semula namun ... hanya gerabak keretapi sahaja yang dapat terakam. Bukan rezeki saya agaknya kali ini... huhuhuhuhu
Jadilah ...walau hanya gerabak yang sempat dirakamkan
Selepas sahaja pintu pagar keselamatan landasan dibuka, saya terus menuju ke pondok penjaga pagar keselamatan landasan keretapi Rompin. Ia sebuah bangunan kayu lama dan klasik. Saya yakin suatu ketika dahulu pasti bangunan kayu kecil ini pernah menjadi hentian keretapi yang penting bagi penduduk pekan Rompin. Sempat saya berbual mesra dengan kakitangan KTMB yang bertugas disitu. Orangnya ramah. Saya meminta kebenaran dari beliau merakamkan gambar disekitar kawasan landasan berkenaan. Sempat juga saya meninjau keadaan dalam bangunan kayu berkenaan. Walaupun nampak uzur namun ia tetap kemas dan bersih. Sebuah meja tua menjadi tempat meletak pelbagai dokumen menjadi penyeri rungan utama bangunan ini. Terlihat kesungguhan di wajah kakitangan KTMB ini.
Seorang kakitangan KTMB yang ramah dan berdedikasi.
Banyak ilmu pengetahuannya tentang jejaran keretapi Malaysia.Pondok pengawal landasan Rompin
Saya merasakan suatu ketika dahulu pondok pengawal landasan pekan Rompin ini berkemungkinan pernah dijadikan hentian bagi penduduk Rompin yang ingin menggunakan perkhidmatan keretapi. Namun demikian kini keretapi memang hanya melalui pekan Rompin tanpa berhenti singgah untuk mengambil penumpang. Landasan yang ada di pekan Rompin ini merupakan landasan bagi jejaran pantai Timur yang menghubungkan Gemas Negeri Sembilan dengan Tumpat di Kelantan.
Adakah dahulu ini merupakan kaunter tiket?
Tiada ulasan:
Catat Komen