Disebabkan di luar kawasan tersebut terletak perkampungan Orang Asli, maka wujud golongan-golongan yang cuba mengambil kesempatan melalui politik murahan dengan menyuntik cerita-cerita buruk berkaitan kerajaan negeri.
"Sebenarnya kerajaan negeri melalui RISDA telah bersetuju untuk membangunkan tanah berkenaan dengan mewujudkan tanaman kelapa sawit untuk dibahagikan hasilnya kepada keluarga Orang Asli yang terlibat.
"Jadi, apabila kawasan perlombongan ini diluluskan kepada Mentiga Bhd, ada sebahagian daripada tanah yang terdapat hasil bijih besi itu terletak dalam kawasan RISDA.
"Walaubagaimanapun, pihak Mentiga telah berunding dengan Orang Asli di situ untuk menyelesaikan dan mencari kaedah yang terbaik bagi memberikan apa yang kita katakan sebagai menggantikan pendapatan seperti apa yang mereka terima daripada RISDA setiap bulan dan persetujuan juga telah dibuat akhirnya," jelasnya.
Bagaimanapun menurut Sharkar, isu yang telah berjaya diselesaikan itu kemudiannya telah diputarbelitkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat negeri dengan menabur fitnah terhadap kerajaan Pahang hingga membuatkan masyarakat di kawasan itu mula naik marah.
Katanya, selepas persetujuan dibuat, kedengaran suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa kerajaan Pahang akan mengambil tapak rumah dan dalam masa yang sama memasuki penempatan lain.
Hakikat sebenarnya, beliau menambah, tuduhan itu tidak wujud dan berasas sama sekali malah Menteri Besar sendiri, Datuk Seri Adnan Yaakob telah mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Orang Asli di kawasan itu.
"Apa yang menjadi masalah sebenarnya bukanlah disebabkan orang di kawasan itu sebaliknya ia ditimbulkan oleh orang luar yang saya difahamkan bahawa cuba mencari 'political mileage'.
"Mereka ini adalah di kalangan puak-puak yang suka merosakkan perpaduan yang wujud di kalangan masyarakat Orang Asli di kawasan ini.
"Kita sangat kesal dengan tindakan yang dibuat dan sebab itulah kita minta supaya rundingan terus diadakan antara penduduk bersama-sama dengan RISDA dan Mentiga," katanya lagi kepada pemberita petang tadi.
Tiada ulasan:
Catat Komen