Sabtu, 22 Disember 2012

06 di pekan - Google Blog Search

06 di pekan - Google Blog Search


video - blogger ceramah <b>di pekan</b> - tentera tidak terlibat isu memali

Posted: 10 Dec 2012 03:48 AM PST

Dato' Haji Tan Ahmad Bin Muhamad Za

in

Pendahuluan

Tokoh ulama ini ialah adik bongsu kepada Lebai Muhamadiah Bin Muhamad Zain juga dikenali Tuan Muhamadiah Kiai. Allahyarham memang bertuah kerana dilahirkan dalam rumah tangga orang-orang alim. Datuknya Haji Muhamad Sholleh Bin Haji Chek Mahmud adalah penghafaz Al Quran yang alim dan pernah tinggal di Mekah Al Mukarramah selama 20 tahun. Asuhan awal dari keluarganya ini telah berjaya membentuk jiwanya dengan keperibadian luhur dan mulia.

Latar Belakang

Allahyarham Dato' Haji Tan Ahmad bin Muhamad Zain dilahirkan di Kampung Kuala Jerang, Durian Tipus, Jelebu dalam bulan November 1921 Nama penuhnya ialah Dato' Haji Tan Ahmad bin Muhamad Zain bin Haji Chek Muhamad Sholleh bin Haji Chek Mahmud bin Haji Chek Ibrahim bin Chek Musa. Chek Musa pula adalah China Islam berasal dari Kuantung, China. Ibu Haji Tan Ahmad bernama Haliah binti Muhamad Sholleh yang keturunannya dari Pagar Ruyung, Sumatera. Kebanyakan mereka adalah tokoh agama kampung yang dipercayai. Haji Tan Ahmad adalah anak bongsu kepada enam adik beradik iaitu 3 lelaki dan 3 perempuan. Abangnya Lebai Muhammadiah anak yang keempat bergelar "Pak Teh" oleh anak-anak saudaranya. Kampung Jerang yang bertuah melahirkan tokoh-tokoh agama ini terletak lebih kurang 3 Km dari Durian Tipus. Durian Tipus sebelum ini adalah sebuah pekan yang agak sibuk dan didominasikan oleh Kaum China kerana terdapat kawasan penempatan Kampung Baru China di sini sewaktu dharurat dahulu. Tetapi selepas terjadi kebakaran besar akhir tahun 1970an, pekan ini telah dikosongkan dan sebuah pekan baru diwujudkan di Simpang Durian kira-kira 2 KM dari tapak asal.

Pendidikan

Haji Tan Ahmad mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Durian Tipus sehingga Darjah 5. Dalam tempoh tersebut, beliau turut belajar agama di bawah asuhan abangnya Allahyarham Lebai Muhammadiah. Pelajaran agama yang diajarkan ialah seperti Tauhid, Feqah dan Nahu saraf Bahasa Arab. Abangnya itu murid kanan kepada Tuan Sheikh Muhamad Said Jamalludin Al Linggi. Selepas itu, dalam usia yang begitu muda iaitu dalam tahun 1929 beliau telah didorong oleh abangnya supaya belajar agama secara memondok di Pondok Gajah Mati, Kedah selama 5 tahun. Tuan Guru pondoknya bernama Wan Ibrahim atau dikenali juga dengan nama Pak Cu Him. Allahyarham Haji Tan Ahmad diberi pentarbiahan secara langsung dalam ilmu agama serta mendalami beberapa bidang lain seperti Tafsir dan hadith.

Lepas itu, beliau meneruskan pengajian di Pondok Sungai Semambu Tanah Liat, Bukit Mertajam selama 5 tahun pula di bawah asuhan Tuan Guru Sheikh Abdul Majid Masri Awang. Di sini, beliau sempat belajar ilmu Mantik, Bayan, Ma'ani, Usul Feqah dan lain-lain lagi. Kemudian beliau dibenarkan oleh gurunya untuk mengajar di pondok ini.

Kelantan

Allahyarham Haji Tan Ahmad terdorong pula untuk ke Kelantan untuk menimba ilmu dari Serambi Mekah itu. Selain Kedah, Kelantan adalah pusat pengajian pondok yang tersohor di rantau ini. Di sana pondok-pondok pengajian Islam tubuh dengan subur dan beribu penuntut dari berbagai negeri hingga dari Indo China datang untuk menimba ilmu. Bumi yang subur itu banyak melahirkan para ulama yang besar. Beliau berguru dengan Tuan Guru Haji Saad Kangkung dan sempat belajar beberapa kitab utama dari Tuan Guru yang terkenal ini. Pada 12 Mei 1941, Haji Tan Ahmad mendapat kebenaran bertulis dari Majlis Agama Islam Negeri kelantan untuk mengajar agama. Dalam pada itu, beliau masih meluangkan masanya untuk mengaji di Pondok Tuan Guru Haji Chek Ali bin Chek Hussien. Di sini beliau belajar ilmu Faraid dan lain-lain lagi. Kemudian diberi kebenaran mengajar di pondok tersebut.

Berkahwin

Allahyarham Haji Tan Ahmad menamatkan zaman bujangnya apabila bertemu jodoh dengan Rahmah binti Nung Hussien pada 24 Julai 1943. Beliau dikurniakan 10 orang cahaya mata di mana enam darinya adalah lelaki. Seorang anaknya bernama Haji Zulkarnain Haji Ahmad pernah bertugas sebagai Pengurus di Bank Pertanian Malaysia. Beliau telah bersara dan menetap di Taman Jasa, Batu Caves, Selangor.

Balik Kampung

Selepas perang tamat dalam Tahun 1946, Allahyarham Haji Tan Ahmad telah balik ke kampung halamannya. Kepulangan beliau memeriahkan lagi suasana pengajian agama di sana kerana beliau dan abangnya menjadi tempat rujukan penduduk setempat. Abangnya sendiri telah dilantik sebagai Ahli Majlis Syariah Negeri Sembilan. Haji Tan Ahmad mendapat tauliah mengajar agama dan membuka pondok di Masjid Kuala Jerang. Malangnya pondok tersebut terhenti apabila negara diisytiharkan dharurat dalam tahun 1948. Kawasan Durian Tipus adalah dianggap kawasan hitam kerana kewujudan perkampungan China di sana yang memudahkan golongan subersif seperti kominis untuk bermaharajalela. Haji Tan Ahmad pernah dilantik menjadi ketua kampung masa dharurat dan penduduk kampung pernah dikerah memasang pagar kawat duri bagi mengawal pergerakan kominis.

Dilantik Sebagai Qadhi

Pada 1 April 1956, Kerajaan Negeri Sembilan ketika itu telah melantik Haji Tan Ahmad sebagai Qadhi bagi Wilayah Durian Tipus. Peringkat awalnya, rumah beliau telah dijadikan pejabat urusan keagamaan. Beliau telah memegang jawatan tersebut selama 20 tahun 7 bulan dan 29 hari. Bersara pada 30 November 1976. Haji Tan Ahmad kemudiannya dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Syariah Majlis Agama Islam Negeri berkuatkuasa pada 1 Junuari 1982 hingga akhir hayatnya.

Dalam tempoh hayatnya, Allahyarham Dato' Haji Tan Ahmad sangat aktif mengajar agama di Masjid dan surau-surau sekitar Durian Tipus. Antaranya seperti Masjid Kuala Jerang, Simpang Durian, Felda Pasoh 1, Sungai Buloh dan Masjid Kampung Lakai. Kebiasaannya beliau mengajar ilmu Tasawuf, Tafsir dan Feqah.

Meninggal Dunia

Setelah menginfakkan sebahagian besar usia hidupnya kepada agama dan menjadi tempat rujukan yang disegani, Dato' Haji Tan Ahmad bin Muhamad Zin pergi menyahut panggilan Illahi pada 24 Oktober 1995 bersamaan lebih kurang tahun 1416 hijrah, jam 12.37 tengahari di Hospital Besar Seremban. Kebetulan pula saat itu ialah berlakunya gerhana matahari. Beliau dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Jerang. Bagi mengenang jasa beliau dalam bidang agama dan penglibatan dalam masyarakat maka Kerajaan Negeri Sembilan telah menganugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) pada 19 Julai 1974 dan gelaran Dato' pada 19 Julai 1991. Semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas ruhnya. Amin.

~~Sumber Ulamakito

Tiada ulasan:

Catat Komen

ads